Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyed Saddiq sedia hadapi keputusan akhir mahkamah M’sia pada 30 Jun
Syed Saddiq sedia hadapi keputusan akhir mahkamah M’sia pada 30 Jun
Syed Saddiq sedia hadapi keputusan akhir mahkamah M’sia pada 30 Jun
Menjelang keputusan akhir Mahkamah Persekutuan pada 30 Jun ini terhadap rayuan pembebasannya dalam kes dihadapi, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengakui beliau tenang dan bersedia menghadapi apa juga keputusan selepas melalui proses perundangan yang berlarutan enam tahun.
Beliau bagaimanapun enggan membuat sebarang teori mengenai jangkaan keputusan rayuan kes mahkamahnya itu, sebaliknya memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada Allah selepas berusaha mempertahankan dirinya melalui saluran undang-undang.
“Saya tenang kerana yakin saya berada di pihak yang betul. Saya dah melalui proses kehakiman yang sekarang dah nak masuk tahun ketujuh.
“Saya tidak pernah menangguhkan kes ini, tidak pernah memohon kes ini digugurkan dan tidak pernah merayu menggunakan saluran politik walaupun boleh, kerana saya yakin saya berada di pihak yang benar,” katanya.
Syed Saddiq ditemui selepas menghadiri majlis doa selamat dan solat hajat di Madrasatul Hajjah Zubaidah di Petaling Jaya, Selangor, pada malam 25 Jun, menjelang keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasannya daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada (Pemuda) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ia selepas Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025 melepas dan membebaskannya daripada sabitan kes serta hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ($3.16 juta) yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.
Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Mantan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu akan kekal bebas jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan atau sebaliknya berdepan hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada hujahan pendakwa raya.
Ditanya sama ada beliau optimis keputusan rayuan itu akan memihak kepadanya, Syed Saddiq, 34 tahun, berkata beliau tidak mahu membuat sebarang jangkaan sebelum keputusan diumumkan pada 30 Jun.
“Kita nantikan pada minggu depan. Saya tak nak kita berhipotesis sama ada baik atau tidak, kita fokus pada apa yang akan berlaku nanti pada 30 Jun.
“Secara peribadi saya memang sudah bersedia. Bila kita dah buat solat hajat malam ini, kita serahkan sepenuhnya kepada Allah,” katanya.
Ketika ditanya sama ada perancangannya untuk mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah akan diteruskan sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya, beliau berkata perkara itu akan dijawab pada 30 Jun nanti.
“Sukar untuk saya komen situasi A atau B yang akan berlaku. Lebih baik kita nantikan. Tetapi yakinlah dan letaklah kepercayaan pada Allah, apabila kita sudah berusaha dan kita yakin kita di pihak yang benar, insya-Allah semua akan berjalan dengan baik.
“Kalau ditakdirkan keputusan itu baik dan memihak kepada saya, jangan lupa tanyakan semula soalan itu pada 30 Jun nanti,” kata mantan Menteri Belia dan Sukan itu sambil tersenyum.
Beliau mengakui selain sokongan kuat keluarga dan rakan, kehadiran tunangannya itu dan dua anak Bella dalam hidupnya menjadi sumber ketenangan sepanjang beliau berdepan ujian berkenaan.
“Saya anggap keluarga tunang seperti keluarga saya sendiri. Bella dan anak-anaknya memberikan keceriaan, kebahagiaan dan ketenangan yang luar biasa kepada saya walaupun kadang-kadang emosi itu seperti ribut taufan.
“Harapan saya, insya-Allah jika semuanya berjalan dengan baik pada 30 Jun ini, itu juga berkat doa dan sokongan daripada mereka,” katanya.
Kata Syed Saddiq, beliau turut terhutang budi dan berterima kasih dengan sokongan dan doa pelbagai pihak terutama penyokong terhadapnya untuk mendepani hari penting itu.
“Saya rasa terhutang budi kerana doa adalah perisai yang terakhir. Kita dah berusaha sebaik mungkin dan akhirnya kita berserah kepada Allah kerana itulah tempat terbaik yang akhirnya akan menentukan kemenangan atau kekalahan selepas kita berusaha sebaik mungkin.
“Kepada sahabat dan keluarga yang datang pada majlis malam ini, terima kasih. Bagi mereka yang tidak hadir tetapi bersama secara maya, berdoa, buat solat hajat dan baca Yassin, saya juga terhutang budi,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut berharap pengalaman dilaluinya dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan ujian.
“Saya juga ingin menghantar isyarat yang jelas kepada anak muda di luar sana, apabila berhadapan dengan masalah jangan gentar, jangan takut.
“Kita perlu sentiasa berprinsip dan bermaruah kerana akhirnya perjuangan itu jauh lebih besar daripada individu atau personaliti semata-mata,” katanya.
