KUALA LUMPUR: Hampir 30 jurugambar jalanan di sekitar Menara Berkembar Petronas atau lebih dikenali sebagai KLCC, dikompaun menerusi operasi bersepadu oleh KL Strike Force, bagi menangani pelbagai isu yang timbul membabitkan golongan itu baru-baru ini.
Operasi itu berjalan lancar walaupun berlaku sedikit kekecohan apabila seorang daripada kumpulan jurugambar terbabit enggan bekerjasama.
Namun keadaan berjaya dikawal secara profesional oleh pegawai di lokasi dan semuanya berjalan lancar.
Seorang jurugambar jalanan yang enggan dikenali berkata itu adalah kali pertama mereka dikompaun atas kesalahan menawarkan perkhidmatan mengambil gambar.
“Ini kali pertama, tengok dekat surat ini (kompaun) tulis kena bayar RM2,000 ($607) mana nak bayar? Kalau hari-hari kena saman botaklah kepala saya.
“Kalau macam ini selepas ini jika selalu saman saya kena cari kerja lain lah, tapi mereka ada kata nak bagi kami lesen di sini, kita tunggu sajalah macam mana cara,” katanya, lapor Harian Metro.
Berdasarkan notis kompaun yang dikeluarkan, individu terbabit dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016.
Difahamkan kesalahan dilakukan adalah menawarkan perkhidmatan fotografi di tempat awam kepada pengunjung sekitar KLCC dengan menggunakan telefon pintar tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Berita Harian pada 27 Julai turut melaporkan tindakan jurugambar jalanan memenuhi perkarangan KLCC dan menawarkan khidmat mengambil gambar antara RM5 dengan RM10 sekeping, menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak.
Sementara itu diminta mengulas mengenai kejadian tular membabitkan kumpulan itu yang didakwa cuba mengambil kesempatan ke atas pelancong asing, pemuda berusia 20-an tahun itu berkata ia sekadar salah faham di antara dua pihak.
Menurutnya, beliau tidak pasti apakah yang terjadi sebenarnya.
Namun berdasarkan pemahamannya kejadian itu berlaku kerana kesukaran kedua-dua pihak berkomunikasi.
“Ketika kejadian itu saya tiada di kawasan ini, tetapi apa yang saya dengar daripada kawan-kawan kejadian itu terjadi sebab salah faham antara mereka.
“Tetapi benda pun sudah jadi, sekarang semua kena tanggung akibat, orang kata ‘kerana nila setitik, habis semua kena’,” katanya.
Dalam operasi bermula sekitar 9 malam itu, ia disertai sejumlah pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg