SEPANG (Selangor): Seramai 39 mangsa mengalami pening kepala dan mual akibat kebocoran bahan kimia di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Encik Wan Md Razali Wan Ismail, berkata enam mangsa dihantar ke Unit Bencana Udara (ADU) manakala 13 dibawa ke pusat kesihatan dengan seorang mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata kebocoran tangki bahan kimia methyl mercaptan (methanethiol) dipercayai punca mangsa, yang terdiri daripada pekerja operasi Sepang Aircraft, MAS Engineering serta pekerja beberapa syarikat yang beroperasi di sekitar Southern Support Zone KLIA, mengalami pening kepala dan mual.
Katanya, sebaik menerima laporan kejadian pada 11.23 pagi 4 Julai, 23 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Shah Alam serta JBPM Negeri Sembilan dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pada 5 petang (4 Julai), anggota Hazmat berjaya mengesan kebocoran gas, methyl mercaptan, di dalam tangki yang tidak digunakan dan menjalankan kerja menampal kebocoran dengan kerjasama syarikat terbabit.
“Bahan itu digunakan sebagai campuran kepada gas petroleum cecair (LPG) dan mengeluarkan bau,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Untuk rekod, LPG yang lazimnya digunakan sebagai gas memasak dan kegunaan lain secara semula jadi tidak mempunyai bau, oleh itu dicampur dengan bahan kimia berkenaan sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kebocoran.
Sementara itu Ketua Polis Daerah KLIA, Penolong Pesuruhjaya Azman Shari’at, berkata kebocoran gas itu dikesan pada sebuah tangki terbiar dan ia tidak digunakan selama lebih sembilan tahun.
“Kebocoran itu dikesan pada salah satu injap gas tangki itu. Setakat ini, kebocoran gas telah dikawal dan dua bangunan itu telah selamat digunakan selepas pemeriksaan lanjut dilakukan Gas Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya, pihak Gas Malaysia telah melakukan tampalan sementara pada tangki itu sebagai langkah segera, sebelum ia dibawa ke satu tempat untuk dilupuskan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg