JOHOR BAHRU: Malaysia tidak akan menimbulkan sebarang ‘kejutan’ kepada pemilik kenderaan Singapura apabila menguatkuasakan sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP), kata Menteri Pengangkutannya, Encik Anthony Loke, selepas kira-kira 50 kenderaan berdaftar Singapura diberi amaran sejak peraturan baru itu bermula pada 1 Oktober.
Beliau berkata fasa kedua penguatkuasaan bagi skim VEP, yang akan termasuk mengenakan denda kepada pemandu yang masih belum mendaftar bagi VEP, akan “pasti tiba”.
Namun beliau tidak mendedahkan garis masa pasti kerana, katanya, ini akan menyebabkan pengguna kenderaan menangguhkan permohonan mereka dan menunggu sehingga tarikh akhir sebelum berbuat demikian, lapor The Straits Times.
Sebelum ini, diumumkan pada Mei bahawa semua kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia melalui jalan darat dari Singapura akan diwajibkan memiliki VEP mulai 1 Oktober.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia berkata kenderaan berdaftar asing yang masih belum memasang tag pengenalan frekuensi radio (RFID) VEP masih dibenarkan masuk ke negara itu dari Singapura, dan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berfasa.
Di bawah peraturan itu, pemandu kenderaan bukan berdaftar Malaysia boleh dinafikan masuk ke negara itu atau didenda sehingga RM2,000 ($612) jika didapati tanpa VEP yang sah.
Encik Loke berkata sebelum fasa kedua sistem VEP dilaksanakan, peringatan akan diberikan kepada pemandu kenderaan Singapura, dan berjanji pihak berkuasa Malaysia “tidak akan tangkap anda secara mengejut”.
“Tetapi jangan harap (kami) tidak kuat kuasakan selama-lamanya. Jadi, ia akan dikuatkuasakan lambat-laun,” kata Encik Loke pada sidang media di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Malaysia di Johor Bahru pada 3 Oktober.
“Kami sangat adil kepada Singapura... Kami tidak akan berikan kejutan kepada anda. Kami sentiasa memberi anda peringatan, kami sentiasa memberi anda notis,” tambahnya.
Mengenai langkah perluaskan bilangan pusat VEP, Encik Loke berkata pihak berkuasa akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk memudahkan proses pemasangan bagi pemandu.
Beliau berkata kerajaan sedang meninjau untuk membenarkan pusat beli-belah di Johor Bahru menawarkan perkhidmatan memasang tag VEP pada kenderaan berdaftar Singapura.
Pada masa ini terdapat tiga pusat permit di selatan Johor – di Taman Daya, Larkin dan Danga Bay – dan satu di Woodlands, Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg