JOHOR BAHRU: Tiga remaja berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa culik kira-kira 10 lelaki termasuk seorang rakan dikenali dalam kejadian di sebuah pasar raya di Skudai di Johor, pada 15 Jun lalu.
Bagaimanapun, polis telah berjaya menahan empat remaja lelaki berusia antara 15 hingga 20 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu, kira-kira 8 malam pada 16 Jun.
Dalam kejadian pada 8 malam 15 Jun, semua remaja lelaki terbabit yang berusia 14 tahun bukan sahaja diculik, malah dipukul selain dirakam gambar bogel.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Penolong Pesuruhjaya Balveer Singh Mahindar Singh, berkata ketika berada di kawasan pasar raya berkenaan, ketiga-tiga mangsa didatangi kira-kira 10 lelaki sebelum melarikan mangsa dengan menaiki tiga buah kereta.
“Mangsa dibawa ke sebuah lokasi tidak diketahui lalu dipukul dan dirakam gambar bogel selain suspek mengugut akan menyebarkan gambar sekiranya kejadian itu terbongkar.
“Suspek kemudiannya melarikan diri bersama-sama barang peribadi milik mangsa dan meninggalkan ketiga-tiga remaja lelaki itu di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Kosmo!.
Encik Balveer Singh berkata mangsa mengalami lebam pada bahagian muka dan lengan kemudian berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Susulan kejadian, ketiga-tiga mangsa membuat laporan polis kira-kira 6.45 pagi 16 Jun dan polis berjaya menahan empat suspek berkenaan pada hari sama serta merampas kenderaan digunakan suspek, selain barangan peribadi milik mangsa turut ditemui.
“Keempat-empat suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Jun ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat menyiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik, Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg