Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga emas maut tersepit bawah kereta yang undur sendiri di Selangor
Warga emas maut tersepit bawah kereta yang undur sendiri di Selangor
Warga emas maut tersepit bawah kereta yang undur sendiri di Selangor
SHAH ALAM: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun maut selepas tersepit di bawah sebuah kereta di Taman Seri, Batang Kali, Hulu Selangor, pada 27 Mei.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Penolong Pesuruhjaya Ibrahim Husin, melaporkan siasatan awal mendapati mangsa dilanggar kenderaannya sendiri pada 5.18 petang.
Ketika kejadian, mangsa baru sahaja keluar dari garaj untuk menutup pagar rumah sebelum kereta yang disyaki tidak ditarik brek tangan tiba-tiba mengundur di garaj yang landai, lalu melanggarnya.
Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh dan tersepit di bawah kenderaan terbabit.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Encik Ahmad Mukhlis Mukhtar, pasukan Bomba tiba pada 5.43 petang selepas menerima panggilan pada 5.20 petang.
Komander Operasi mengesahkan mangsa tersepit di bawah sebuah Proton Saga. Anggota penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas KKM.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Encik Mohd Fauzi Wahab, melibatkan lima anggota dan sebuah jentera, dan ditamatkan pada 6.05 petang.
Encik Ibrahim Husin turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.
