BENTONG (Pahang): Empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia 17 bulan maut, selepas kereta yang mereka naiki dihempap sebuah lori treler membawa muatan habuk besi yang terbalik, dalam satu nahas di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong, Pahang, pada petang 14 Jun.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata siasatan awal mendapati lori treler yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan, Pahang, itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan menuruni bukit dan berselekoh berhampiran kawasan Bukit Tinggi itu.

Beliau berkata ia kemudian terbalik ke sebelah kiri jalan lalu menghempap kereta mangsa yang berada di lorong kiri. Akibat kemalangan itu, kesemua empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, lapor Harian Metro.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55 tahun dan isterinya, Rozita Buang, 58 tahun; anak perempuan mereka, Norbahyah A Halim, 26 tahun, serta cucu perempuan mereka, Nayla Afya Aizat Faizal, yang berusia setahun lima bulan.

Kakak ipar Allahyarhamha Rozita, Cik Suzanna Shafii, 55 tahun, berkata kehilangan empat ahli keluarga serentak amat mengejutkan dan menyedihkan, namun mereka menerima ketentuan Allah swt dengan hati yang reda.

Menurutnya, kesemua mangsa menetap di Felda Mempaga 1, Bentong, dan mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli keluarga lain.

Katanya, pasangan suami isteri itu turut meninggalkan dua lagi anak yang masih hidup, seorang lelaki dan seorang perempuan kedua-duanya berusia 20-an tahun.

Sementara itu, dalam satu kenyataan pada 15 Jun, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pemandu treler berusia 40 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu didapati sah positif dadah.

“Keputusan ujian saringan mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine dan tangkapan telah dibuat ke atas pemandu terbabit kira-kira 4 pagi tadi (15 Jun),” katanya sambil menambah bahawa pemandu lori berkenaan juga dikesan mempunyai 15 rekod saman trafik.

Terdahulu, treler yang terbabit dalam kemalangan itu turut terbakar ketika usaha mengalihkan kenderaan yang terbalik itu dijalankan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Encik Mohd Salahuddin Isa, berkata kebakaran berlaku selepas semua mayat berjaya dikeluarkan daripada bawah treler berkenaan.

“Ketika jengkaut cuba mengangkat treler itu, satu letupan berlaku sebelum treler dan kepala lori terbakar.

“Anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bentong yang dalam perjalanan pulang ke balai dimaklumkan mengenai kebakaran itu sebelum berpatah balik ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran. Tiada mangsa cedera dalam kejadian itu,” katanya.