Topik diikuti
Pergi ke BHkuBayi tercampak keluar, 5 sekeluarga maut nahas kenderaan rempuh paip air di Sarawak
Bayi tercampak keluar, 5 sekeluarga maut nahas kenderaan rempuh paip air di Sarawak
Bayi tercampak keluar, 5 sekeluarga maut nahas kenderaan rempuh paip air di Sarawak
KUCHING: Lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan maut dalam satu kemalangan di Jalan Baki Lama-Ensengei di Serian, Sarawak, pada 3 Jun.
Dalam kejadian pada 8.30 pagi itu, kenderaan yang dinaiki lima mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebatang paip air di tepi jalan.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Allahyarham Mohammad Bostari Aidit, 30 tahun; Allahyarhamha Ajibah Ahmat, 47 tahun; Allahyarhamha Nur Farah Shahira Narudin, 26 tahun; Allahyarhamha Nur Ain Nasrin Narudin, 16 tahun, dan Nur Assyfa Luthfya Narudin, 2 tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.41 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 12 kilometer daripada balai dan tiba pada 9.04 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang melanggar batang paip air.
“Terdapat lima mangsa dalam kenderaan berkenaan, membabitkan tiga perempuan dewasa, seorang lelaki dewasa dan seorang bayi perempuan,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 Jun, lapor Harian Metro.
Beliau berkata pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan empat mangsa dewasa yang tersepit di dalam kenderaan, manakala bayi perempuan itu ditemui orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Menurutnya, bayi berkenaan dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan akibat kesan pelanggaran yang kuat semasa kemalangan berlaku.
Jurucakap itu berkata semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan pada 9.51 pagi.
