Topik diikuti
Pergi ke BHku4 tahun pentadbiran Anwar: Menyerlah di pentas dunia, tapi diuji dalam negara?
Penganalisis: Peningkatan profil di pentas antarabangsa penting, namun sama penting ialah pastikan pencapaian ekonomi negara dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, peluang pembangunan dinikmati secara lebih adil
4 tahun pentadbiran Anwar: Menyerlah di pentas dunia, tapi diuji dalam negara?
Empat tahun menerajui Kerajaan Perpaduan, ramai melihat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semakin menonjol di pentas antarabangsa menerusi hubungan diplomatik dengan pemimpin dunia serta pendirian tegas dalam menyuarakan isu sejagat.
Di media sosial, khususnya dalam kalangan penyokongnya, terma ‘mendunia’ galak dikaitkan dengan kepimpinan Datuk Anwar, sebagai menggambarkan pengaruh, populariti atau pencapaiannya yang telah melangkaui sempadan negara dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Kepimpinan beliau, termasuk ketika Malaysia memegang jawatan Pengerusi Asean pada 2025, turut meningkatkan profil negara dalam perbincangan serantau dan antarabangsa.
Ia sekali gus meletakkan Datuk Anwar sebagai antara pemimpin yang mendapat perhatian antarabangsa, malah beberapa kali disenaraikan sebagai antara pemimpin terbaik Asia dan antara tokoh pemimpin Muslim paling berpengaruh di dunia.
Terkini, Datuk Anwar menjadi seorang daripada tiga pemimpin Asean yang disenaraikan sebagai antara pemimpin paling berpengaruh di Asia dalam Indeks Kuasa Asia 2026 oleh Institut Lowy, iaitu pada kedudukan kelapan dengan skor 46 mata.
Turut disenaraikan ialah Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, yang menduduki tempat ketiga dengan 74 mata dan Presiden Vietnam, Encik To Lam, di tempat ketujuh dengan 50 mata.
Bagaimanapun, pengiktirafan antarabangsa seperti itu, yang dilihat menonjol terutama jika dibandingkan era pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum beliau, belum semestinya diterjemahkan kepada sokongan domestik yang menyeluruh.
Ini berikutan pentadbirannya masih berdepan persoalan mengenai keberkesanan dasar, tekanan kos sara hidup serta pelaksanaan agenda reformasi yang dijanjikan, terutama ketika pentadbirannya memasuki penggal akhir pada 2027 sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu diadakan.
Kestabilan politik terutama hubungan antara gabungan blok kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khususnya turut dikaitkan sebagai memberi kesan terhadap pencapaian yang maksimum.
CABARAN KESTABILAN POLITIK
Penganalisis berpandangan, cabaran utama Datuk Anwar selepas empat tahun bukan sekadar mengekalkan kestabilan politik dan keyakinan pelabur, sebaliknya memastikan pencapaian ekonomi negara dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Penganalisis politik dan pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata kejayaan diplomatik serta peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata pengiktirafan antarabangsa tidak secara automatik membawa kepada sokongan domestik kerana rakyat menilai kepimpinan berdasarkan perkara yang lebih dekat dengan kehidupan mereka, termasuk kos sara hidup, perumahan, pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi yang adil.
“Jika saya hendak merumuskan keseluruhan empat tahun kepimpinan Datuk Anwar, saya melihat bahawa Malaysia telah melalui satu tempoh penyusunan semula politik, ekonomi dan hubungan antarabangsa.
“Kestabilan kerajaan, pengukuhan hubungan diplomatik, pertumbuhan ekonomi dan usaha menarik pelaburan merupakan perkembangan yang perlu diambil kira.
“Namun, cabaran seterusnya ialah menterjemahkan semua pencapaian tersebut kepada peningkatan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Jelasnya, tiga perkara yang perlu menjadi keutamaan Datuk Anwar menjelang PRU16 ialah transformasi ekonomi; mempercepat reformasi institusi dengan meningkatkan ketelusan dan memperkukuh akauntabiliti pentadbiran, serta transformasi politik yang berasaskan dasar dan kepentingan nasional, bukan semata-mata persaingan antara parti.
Profesor Barjoyai, yang juga Provos Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, turut menyorot dapatan tinjauan Merdeka Center yang dijalankan antara 12 Mac hingga 9 April 2026 terhadap 1,209 responden yang mendapati 52 peratus memberikan penilaian positif terhadap prestasi Datuk Anwar.
Manakala 44 peratus lagi, katanya, tidak berpuas hati dan pada masa sama, hanya 42 peratus percaya negara berada di landasan yang betul, sementara 50 peratus berpandangan sebaliknya dan 73 peratus responden mengenal pasti isu ekonomi sebagai kebimbangan utama.
Ini menurut beliau menunjukkan bahawa penerimaan terhadap seorang Perdana Menteri tidak semestinya sama dengan penerimaan terhadap keseluruhan prestasi kerajaan termasuk di peringkat antarabangsa.
“Pada akhirnya, sejarah tidak akan menilai seseorang Perdana Menteri hanya berdasarkan berapa ramai pemimpin dunia yang datang bertemu dengannya atau sejauh mana beliau dikenali di peringkat antarabangsa.
“Sejarah akan menilai sejauh mana kehidupan rakyat bertambah baik, ekonomi negara menjadi lebih produktif, institusi negara lebih kukuh dan peluang pembangunan dapat dinikmati secara lebih adil,” katanya.
KESAN EKONOMI MAKRO DAN MIKRO
Pandangan sama turut dikongsi ahli ekonomi dari Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid.
Beliau menilai prestasi ekonomi Malaysia pada peringkat makro (kesan kepada negara) sebagai memberangsangkan, termasuk dari segi pertumbuhan, kedudukan ringgit, pasaran saham dan kemasukan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi.
Namun, katanya, kesan positif itu belum dirasai di peringkat mikro, iaitu secara meluas oleh rakyat, sekali gus mencetuskan persepsi bahawa keadaan ekonomi masih sukar.
Beliau berkata keadaan itu turut dipengaruhi persaingan politik yang semakin ketara, termasuk dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, sehingga isu ekonomi dan kehidupan rakyat kadangkala menjadi sebahagian daripada pertarungan politik.
“Kesan kepada negara kita boleh katakan agak baik dan saya boleh beri empat bintang dari lima bintang.
“Sebab Datuk Anwar berjaya meletakkan Malaysia antara ekonomi terbaik di rantau Asean, termasuk di kedudukan pertama dari segi peningkatan Hasil Dalam Negara Kasar (GDP); kemampanan mata wang terutama dalam tempoh dua tahun ini; dari segi guna tenaga dan tahap pengangguran pada tahap 2.9 peratus dan pasaran saham agak stabil.
“Berikutnya ialah pelaburan langsung asing (FDI) yang kita raih khasnya dalam sektor berimpak tinggi, termasuklah pusat data dan sebagainya.
“Tetapi kesan limpahan ekonomi ini tidak diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, sebab itu rakyat masih merungut mengenai kos sara hidup,” katanya kepada BH.
Bagaimanapun, Profesor Baharom tidak menolak persepsi buruk rakyat terhadap pentadbiran Datuk Anwar berpunca daripada ketidakstabilan politik, apabila isu kecil diperbesarkan, terutama ketika Kerajaan Perpaduan berada dalam tempoh terakhir pemerintahan.
“Jadi masing-masing sedang tarik keyakinan pengundi dan sokongan rakyat, dan keadaan kali ini agak unik kerana Kerajaan Perpaduan iaitu gabungan antara dua parti yang pernah berseteru PH-BN tidak diterjemahkan sebagai rakan yang baik dalam PRU akan datang.
“Masing-masing tidur sekatil, tetapi cuba nak tikam masing-masing. Ini menyebabkan keadaan lebih kacau bilau,” katanya.
Justeru, beliau berpendapat keyakinan rakyat sukar dipulihkan sekiranya kerajaan dilihat tidak menyelaraskan tindakan dengan pendirian yang sering dilaungkan.
“Oleh itu bagi saya, di sebalik siri kejayaan ekonomi yang dicapai Datuk Anwar, beliau perlu walk the talk terutama dalam isu-isu reformasi yang dijanjikan, termasuk menghapuskan rasuah dan tidak melakukan pendakwaan terpilih kepada pihak tertentu atas kepentingan politik,” katanya.
TINGKAT KEYAKINAN PELABUR
Sementara itu, Pengarah Eksekutif firma penyelidikan dan analitik bebas di Malaysia, Ilham Centre, Encik Muhamad Hisommudin Bakar, berkata antara kejayaan utama pentadbiran Datuk Anwar ialah keupayaannya mengekalkan kestabilan ekonomi negara dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan politik sejagat.
Beliau berkata langkah penyasaran subsidi, usaha mengurangkan defisit negara serta pendekatan mengimbangi hubungan dengan kuasa ekonomi besar seperti Amerika Syarikat dan China membantu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Bagaimanapun, beliau turut sependapat dengan Profesor Barjoyai dan Profesor Baharom, apabila melihat jurang antara pencapaian ekonomi makro dengan realiti ekonomi mikro sebagai kelemahan paling ketara pentadbiran Datuk Anwar.
“Ukuran kejayaan bagi pengundi bukanlah angka pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi perubahan yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian mereka,” katanya kepada BH.
Encik Hisommudin turut menyifatkan kelemahan dalam penyelarasan dan komunikasi dasar antara kementerian sebagai antara perkara yang perlu diperbaiki, terutama apabila beberapa keputusan terpaksa dipinda atau ditarik balik selepas diumumkan.
Antara contoh yang diberikan ialah perubahan kuota subsidi petrol Budi95, keputusan berkaitan pengeluaran nikotin daripada Senarai Racun serta pembatalan ujian saringan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu.
Katanya, kerajaan perlu memastikan setiap dasar diteliti dari segi kesiapsiagaan pelaksanaan, implikasi dan penerimaan rakyat sebelum diumumkan bagi mengelakkan kekeliruan serta persepsi bahawa pentadbiran tidak mempunyai kesepaduan dalam membuat keputusan.
Beliau turut melihat cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sebagai antara langkah penting yang dibawa Datuk Anwar dalam agenda reformasi institusi, selain usaha memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pemberian lebih banyak kuasa dan peruntukan kepada Sabah serta Sarawak.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cik Shahidah Abdul Razak, berkata antara usaha yang boleh dikreditkan kepada pentadbiran Datuk Anwar termasuk kenaikan gaji penjawat awam, bantuan kepada rakyat serta rasionalisasi subsidi bagi membolehkan pengurusan kewangan kerajaan dilaksanakan dengan lebih cermat.
Namun, katanya keberkesanan langkah itu perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap kehidupan sosioekonomi rakyat, bukan sekadar pelaksanaannya.
Beliau turut melihat kestabilan politik yang dapat dikekalkan di sebalik pelbagai tekanan sebagai satu pencapaian, selain beberapa usaha reformasi institusi yang mula dilaksanakan.
PERKEMAS SISTEM PENYAMPAIAN
Bagaimanapun, Cik Shahidah berkata sistem penyampaian kerajaan perlu diperkemas supaya dasar yang diperkenalkan dapat difahami rakyat dengan lebih jelas, manakala hubungan antara kerajaan dengan masyarakat perlu diberi perhatian melalui penyelesaian masalah yang benar-benar dekat dengan kehidupan mereka.
“Persepsi bahawa agenda reformasi yang dijanjikan Kerajaan Datuk Anwar masih belum dilaksanakan sepenuhnya dan turut menjadi cabaran kepada kerajaan,” ujar Pensyarah Kanan Sains Politik, Pentadbiran dan Pengajian Dasar UiTM itu kepada BH.
Dalam aspek politik menjelang PRU16, Encik Hisomuddin dan Cik Shahidah berkata peluang Datuk Anwar untuk kembali menerajui negara masih terbuka, namun laluan PH semakin mencabar menyusuli prestasi gabungan itu dalam beberapa Pilihan Raya Negeri.
Encik Hisomuddin berkata PH perlu membina naratif politik yang lebih berkesan untuk menyaingi naratif penyatuan Melayu-Islam oleh BN dan Perikatan Nasional (PN), selain terbuka menilai bentuk kerjasama politik baharu berdasarkan penerimaan pengundi dan keupayaan memenangi kerusi.
“Dalam masa sama, Datuk Anwar perlu memastikan sokongan pengundi bukan Melayu yang menjadi antara kekuatan asas PH tidak terhakis,” katanya.
Cik Shahidah pula berpandangan imej dan personaliti Datuk Anwar masih mempunyai potensi untuk membolehkannya kembali memimpin negara selepas PRU16, namun keputusan akhirnya bergantung kepada parti atau gabungan yang memperoleh sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.
Selepas empat tahun, cabaran Datuk Anwar bukan lagi sekadar membuktikan beliau mampu mendapat tempat di pentas dunia, tetapi meyakinkan rakyat bahawa kepimpinan itu turut membawa perubahan yang bermakna di dalam negara.