Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnthony Loke cabar AP BN kritik kepimpinan Anwar letak jawatan
Turut persoal tindakan pihak tidak puas hati dasar kerajaan, namun kekal dalam pentadbiran
Anthony Loke cabar AP BN kritik kepimpinan Anwar letak jawatan
MELAKA: Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, mencabar Ahli Parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) yang kerap mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan agar meletak jawatan dalam Kabinet, jika tidak lagi sehaluan dengan Perdana Menteri.
Dalam penampilan awam pertamanya selepas melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan pada petang 10 November menyusuli keputusan tahanan rumah bekas Perdana Menteri dari Umno, Encik Najib Tun Razak, Encik Loke berkata mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Datuk Anwar perlu berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama dengan melepaskan jawatan dalam Kabinet.
“Jika tidak berpuas hati, keluarlah. Jika tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, letak jawatan. Saya sudah berbuat demikian. Bagaimana pula dengan anda, sahabat saya?” katanya ketika berucap pada ceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Melaka, pada malam 10 November.
“Setiap hari anda menyuarakan rasa tidak setuju, manakala parti anda menyerang Datuk Anwar siang dan malam dengan mendakwa pelbagai perkara tidak kena. Namun, anda masih kekal dalam Kerajaan.
“Setiap Rabu dan Jumaat, anda (AP BN) menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Datuk Anwar. Apa sebenarnya yang anda mahukan?” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Loke turut mempersoalkan tindakan pihak yang tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan dan keputusan berkaitan peruntukan, namun masih memilih untuk kekal dalam pentadbiran.
AP Seremban itu turut menggesa pengundi di Melaka menggunakan kuasa mereka pada hari pengundian PRN negeri itu pada 14 November ini.
Ia bagi menyampaikan mesej tegas kepada pihak yang mendesak Datuk Anwar membubarkan Parlimen sebelum tamat penggal, bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Walaupun ada pihak tertentu memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen, kita ingin mengingatkan mereka bahawa mandat masih berada di tangan Datuk Anwar.
“Jika tidak berpuas hati, anda boleh keluar. Walaupun saya sudah meletakkan jawatan sebagai menteri, saya memberi jaminan semua AP DAP akan terus menyokong Datuk Anwar. Beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Tanpa menyebut mana-mana individu secara khusus, kenyataan Encik Loke itu dipercayai ditujukan kepada Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, Datuk Zahid dilaporkan berkata adalah lebih baik Parlimen dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat berbanding melakukan rombakan Kabinet.
Pengerusi BN itu berkata beliau melihat tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet buat masa ini.
BN dan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Anwar menjadi sekutu dalam Kerajaan Persekutuan, namun menjadi seteru dalam mendepani PRN Melaka dan Negeri Sembilan.
Terdahulu, Encik Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah.
Menurutnya, keputusan meletakkan jawatan itu selaras dengan pendirian dan prinsip DAP serta beliau sendiri terhadap isu tahanan rumah Encik Najib yang tidak dipersetujui.