Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 beranak rentung kebakaran di Melaka, 5 lagi maut nahas jalan raya

Feb 13, 2025 | 1:47 PM
Seorang wanita dan empat anaknya (gambar jenazah) rentung dalam kebakaran di rumah sewa mereka dekat Kampung Berangan 6, Merlimau, Melaka, pada awal pagi 13 Februari, sementara anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membuat pemeriksaan di kediaman mereka. Gambar kecil: Saksi kebakaran yang juga jiran keluarga berkenaan, Encik Ab Kahar Ahmad, 70 tahun.
Seorang wanita dan empat anaknya (gambar jenazah) rentung dalam kebakaran di rumah sewa mereka dekat Kampung Berangan 6, Merlimau, Melaka, pada awal pagi 13 Februari, sementara anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membuat pemeriksaan di kediaman mereka. Gambar kecil: Saksi kebakaran yang juga jiran keluarga berkenaan, Encik Ab Kahar Ahmad, 70 tahun. - Foto KOSMO!

KUALA LUMPUR: Lima beranak termasuk empat kanak-kanak rentung selepas kediaman mereka di Jasin, Melaka, musnah dalam kebakaran pada awal pagi 13 Februari, manakala lima yang lain maut dalam nahas jalan raya di Jempol, Negeri Sembilan, pada 12 Februari malam.

Dalam kejadian kebakaran di Jalan Bakti, Kampung Berangan 6, Umbai, Jasin, itu hanya suami mangsa sempat menyelamatkan diri dengan bantuan jiran yang membantu mengeluarkannya melalui tingkap rumah, manakala isteri serta empat anaknya terperangkap dalam kebakaran.

Menurut saksi, Encik Ab Kahar Ahmad, 70 tahun, yang juga jiran mangsa, ketika kejadian kira-kira 1.30 pagi, beliau yang menetap bersebelahan rumah mangsa terdengar suara riuh-rendah sebelum terlihat api mula keluar daripada tingkap rumah berkenaan.

“Apabila saya keluar rumah saya nampak suaminya sudah tersandar di pokok di perkarangan rumah, isteri serta anak-anaknya tiada kerana terperangkap disebabkan semua pintu mempunyai jeriji dan berkunci.

“Si suami berulang kali menjerit minta isteri dan anak-anaknya keluar selamatkan diri. Memang ada bunyi tapak kaki berlari-lari, tetapi tidak sempat keluar,” katanya ketika ditemui di lokasi pada 13 Februari, lapor Kosmo!.

Kata Encik Ab Kahar lagi, penduduk kampung cuba membantu lima beranak itu untuk menyelamatkan diri, namun api marak terlalu cepat kerana binaan bahagian atas rumah adalah kayu.

“Sebelum kejadian enam beranak itu baru saja terlibat dalam kemalangan di Alor Gajah, Melaka, namun hanya si bapa yang tercedera, manakala isteri serta anak-anaknya hanya mengalami luka-luka,” katanya sayu.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Encik Mohd Sufian Abu Bakar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 1.40 pagi, sebelum anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati rumah mangsa sudah 80 peratus terbakar.

Sementara itu dalam satu nahas jalan raya di Kilometer 6, Jalan Bahau-Rompin, lima maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Perodua Axia, kereta Toyota Mark X dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Ford Ranger.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, kereta Toyota bertembung dengan Axia, sebelum kenderaan itu berpusing dan dirempuh oleh Ford Ranger yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang.

“Kejadian menyebabkan seorang guru berusia 31 tahun yang memandu Axia dan membawa tiga pelajarnya berusia 16, 18 dan 19 tahun, selain pemandu Toyota terkorban akibat cedera parah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg