Baru-baru ini Barisan Nasional (BN) mengadakan Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas ke-50. Bertemakan ‘Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa’, BN berhasrat untuk terus memperteguh kedudukan dalam landskap politik negara dengan pendekatan lebih proaktif, inklusif dan inovatif.
Politik kerjasama adalah ciri utama kepada politik negara. Parti di Malaysia tidak boleh memenangi pilihan raya dan menubuhkan kerajaan secara bersendirian, melainkan melalui kerjasama.
Semua parti perlu bekerjasama kerana walaupun memperoleh kerusi parlimen terbanyak tetap tidak mampu membentuk kerajaan seperti dialami semua parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tidak dinafikan BN, dan sebelumnya Perikatan, adalah pelopor kepada politik kerjasama bukan sahaja dapat menstabilkan politik tetapi perpaduan kaum dan keamanan negara. Sejak kemerdekaan, naratif politik kerjasama ini dipengaruhi faktor elit politik, rumpun etnik dan perkongsian kuasa antara kaum.
Meskipun kekuatan BN tidak seperti dahulu, impak keberadaan BN dalam politik negara masih terasa malah kekal relevan.
Semasa pembentukan kerajaan pasca PRU15 pada November 2022, BN diperlukan bagi mengakhiri kemelut politik ketika itu dengan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk Kerajaan Perpaduan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Selaras dengan sambutan Jubli Emas 50 tahun, BN harus melihat ke hadapan untuk terus gagah 50 tahun lagi. BN tidak boleh lagi bersifat romantisme mengenang kedudukan lama, sebaliknya menyusun strategi dengan memanfaatkan kekuatan anak muda dalam BN.
Justeru, Pemuda BN khususnya perlu memainkan peranan sebagai pemacu perubahan dan pembaharuan untuk memastikan perjuangan parti kekal relevan.
Berdasarkan temubual baru-baru ini bersama Pengarah Komunikasi Pemuda BN yang baru, Encik Neow Choo Seong, beliau menegaskan BN harus mencerakin dan memberi penekanan kepada lima perkara, iaitu meremajakan kepemimpinan, memperkasa pendekatan lokaliti, menguasai digitalisasi, memperkukuh nilai bersama dan menggerakkan aksi nyata.
Encik Neow yang juga Ketua Penerangan Pemuda Persatuan Cina Malaysia (MCA) berkata berbekalkan semangat ‘Era Baru Anak Muda Barisan Nasional’, lima perkara ini penting demi masa depan dan kelangsungan BN.
Pertama, menerusi meremajakan kepimpinan, BN harus memberi ruang kepada idea baharu dan bakat muda untuk mencorak masa depan parti. Umno sebagai teraju BN memulakan langkah dengan memberi lebih banyak ruang kepada bakat baru diketengahkan sebagai pemimpin dan calon pilihan raya akan datang.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini Umno mengumumkan penubuhan Sekolah Politik Umno untuk menjana bakat baru dalam parti.
Kedua, memperkasa pendekatan lokaliti. Dalam aspek ini, BN perlu terus peka, mendengar dan menyelesaikan isu rakyat dengan pendekatan lebih dekat, praktikal dan mesra komuniti. Kedudukan BN dalam kerajaan semestinya memudahkan lagi peranannya menyantuni rakyat. BN dan rakyat mestilah berpisah tiada.
Ketiga, menguasai digitalisasi menuntut BN memanfaatkan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan media sosial untuk berhubung dengan generasi muda selain perlu mengukuhkan struktur komunikasi BN dengan lebih strategik, efektif dan proaktif.
Tanpa tidak meremehkan pendekatan lama seperti turun padang dengan bertentang mata bersama rakyat, BN harus memanfaatkan kecanggihan teknologi untuk memasarkan idea politik mereka.
Keempat, memperkukuh nilai bersama. BN hendaklah menyatukan masyarakat pelbagai kaum di bawah nilai kebersamaan, integriti dan pembangunan secara inklusif. Inilah sebenarnya kekuatan BN bertunjangkan politik sederhana dan semangat perkongsian kuasa antara kaum sejak dahulu lagi.
Kelima, menggerakkan aksi nyata. BN wajar memberi fokus pada tindakan, bukan hanya retorik untuk menunjukkan hasil dan keberkesanan perjuangan BN. Tidak dinafikan, slogan penting bagi menjelaskan kehadiran BN namun aksi lebih kritikal kerana sentuhannya dapat dirasai rakyat.
Dengan menekankan ilmu, keberanian, inovasi dan komitmen oleh Pemuda BN seperti dizahirkan dalam lima perkara di atas, ia akan menjadi teras kebangkitan BN untuk memastikan kejayaan emasnya untuk tempoh 50 tahun akan datang.
Sumbangan BN amat besar dan kekal dalam kanvas politik negara. BN adalah pelopor kearifan tempatan dalam politik kerjasama membantu negara mencapai kestabilan dan kemakmuran Malaysia sejak kemerdekaan lagi. Kini, BN menjadi sebahagian Kerajaan Madani boleh menjadi pemangkin kepada kerajaan kukuh dan diyakini rakyat.
Pada masa sama, kekuatan parti komponen antara Umno, MCA, Kongres India Malaysia (MIC) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mesti terus disepadukan bagi membentuk BN yang lebih kuat dan bersedia membuka ruang kerjasama dengan semua pihak.
Penulis ialah Penganalisis Politik daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg