Usia pentadbiran kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah masuk ulang tahun kedua pada 19 November.
Di sebalik pelbagai cabaran, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara pakatan unik antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN), serta sokongan padu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti lain usai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November 2022, semakin meraih kepercayaan rakyat.
Dalam usia masih bertatih, Kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai anjakan dan reformasi untuk memandu Malaysia ke landasan pengukuhan daripada pelbagai sudut terutama pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi.
Dengan pelbagai cabaran geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi sejagat yang memberi kesan kepada ekonomi tempatan, Datuk Anwar telah membuktikan beliau berkemampuan memacu Malaysia ke persada dunia, sebagai negara semakin maju dan stabil politiknya.
Bermula dengan prestasi yang dikatakan merosot dan tidak memberangsangkan pada tahun pertama, tahun kedua berubah dengan pencapaian lebih baik.
Paling menarik adalah usaha kerajaan Datuk Anwar membanteras penyakit rasuah yang sekian lama membarah dan merosakkan Malaysia.
Hasilnya, dalam tempoh singkat, Malaysia berjaya meningkatkan kedudukannya dalam ranking rasuah di peringkat sejagat kepada 50 mata pada 2023, berbanding 47 mata pada 2022.
Bagi penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, kejayaan paling besar Kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun ini ialah kestabilan politik, yang disifatkannya sebagai ‘hadiah termahal’ kepada rakyat Malaysia.
Menurutnya, kestabilan politik Malaysia menjadi kunci utama kepada setiap dorongan kejayaan yang akan menyusul, khususnya kemajuan ekonomi, kerana politik yang goyang tidak mampu membolehkan sesebuah negara melaksanakan segala perancangan dengan jayanya.
“Dengan kestabilan politik yang masuk tahun kedua ini, barisan Menteri Kabinet dalam Kerajaan Madani dapat menumpukan perhatian kepada kerja hakiki mereka.
“Kerajaan tidak lagi risau atau terganggu tentang ‘tebuk atap’ atau usaha pihak tertentu mahu menjatuhkan kerajaan, walaupun ketika ini masih lagi ada ura-ura pembangkang ke arah langkah itu (menjatuhkan kerajaan),” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Dr Azmi menambah, tindakan berani kerajaan Datuk Anwar melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel sejak Jun, membuktikan pemimpin itu mengutamakan prestasi ekonomi jangka panjang tanpa bimbang kesan politik daripada rakyat terhadap keputusan tidak popular itu.
“Saya sifatkan Datuk Anwar seorang yang sangat berani, menongkah arus dan berfikiran di luar kotak. Rasionalisasi subsidi ini sudah dibincangkan kerajaan-kerajaan (sebelum ini) sejak bertahun lamanya, namun tidak dilaksanakan kerana bimbang tanggapan negatif rakyat.
“Walaupun awalnya wujud tentangan pelbagai pihak, tetapi rakyat kini semakin faham dan sedar itu adalah tindakan terbaik. Tidak wajar membiarkan hasil titik peluh rakyat dinikmati golongan yang tidak sepatutnya terutama penyeludup dan warga asing yang mengambil kesempatan dan merugikan kerajaan,” jelasnya.
Penganalisis ekonomi yang juga Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berpandangan Malaysia pada landasan tepat dan selesa daripada sudut pertumbuhan ekonomi dan keyakinan itu dicantikkan dengan misi reformasi ekonomi yang digariskan Kerajaan Madani.
Menurutnya, ketokohan Datuk Anwar berjaya menarik keyakinan pelabur luar, meningkatkan kepercayaan terhadap prospek ekonomi Malaysia, memperkukuh sentimen perniagaan dan membentuk hubungan perdagangan dengan beberapa blok ekonomi dunia.
Jelasnya, asas ekonomi Malaysia sudah kembali kukuh, dengan prestasi ekonomi pada suku ketiga 2024. Malah, pelaburan asing secara langsung (FDI) mencatat rekod RM160 bilion ($48.46 bilion) dalam separuh pertama 2024.
“Datuk Anwar juga merupakan sosok kepimpinan yang diterima baik di peringkat komuniti global. Jadi mudah untuk beliau menerajui kepimpinan Asean (pada 2025) supaya ia dapat galakkan aktiviti pelaburan dan perdagangan antarabangsa, meskipun berhadapan dengan isu kepimpinan baru Amerika Syarikat yang berpegang pada dasar melindung,” katanya kepada BM.
Namun Dr Mohd Afzanizam kerajaan Malaysia masih lemah dalam mempertingkat aspek komunikasi yang berkesan dengan rakyat, terutama dalam menyampaikan maklumat tepat, sekali gus meningkatkan keyakinan awam tentang hala tuju ekonomi yang direncana kerajaan.
“Cuma apa yang membimbangkan saya ialah bagaimana proses reformasi ekonomi ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam keadaan ekonomi global tidak menentu. Saya harapkan momentum reformasi ekonomi ini dapat diteruskan dalam keadaan lebih konsisten,” tambahnya.
Bagaimanapun, kepimpinan tahun kedua Datuk Anwar dikritik Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), yang memberikan gred D terhadap pentadbiran pemimpin itu.
Penilaian prestasi buruk pertengahan penggal kerajaan Madani itu dikaitkan dengan kegagalan melaksanakan reformasi institusi dengan ketara, reformasi pilihan raya dan kebebasan sivil.
“Asas ini terangkum dalam janji dan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang menjadi tonggak kepada Kerajaan Perpaduan. Mereka menjanjikan perubahan yang bermakna untuk sistem demokrasi dan semak dan imbang yang lebih baik sekiranya menjadi kerajaan,” kata kenyataan itu.
Menyusuli itu, pertubuhan itu turut meletakkan Datuk Anwar di belakang pendahulunya (perdana menteri), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi mereka.
Menurut Bersih, pentadbiran terdahulu berjaya membuktikan bahawa reformasi utama boleh diselesaikan dalam tempoh dua tahun saja.
“Bersih ingin menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan dan ia sepatutnya memberikan kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi,” tegas kumpulan itu.
Sementara itu, penjawat awam, Encik Muhammad Haikal Abdul Halim, 33 tahun, langkah Kerajaan Madani mengehadkan pembangunan projek prasarana dan memberi lebih tumpuan kepada pengukuhan ekonomi rakyat dan negara, adalah bukti kerajaan begitu prihatin terhadap kebajikan rakyat.
“Sebagai penjawat awam, tentunya kami bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri dengan kenaikan gaji yang sudah tertangguh lama. Walaupun dalam keadaan ekonomi negara yang belum begitu stabil, Perdana Menteri tetap mengutamakan kepentingan penjawat awam,” katanya.
Kakitangan swasta, Cik Nursyafiqa Selamat, 27 tahun, berpandangan golongan belia tidak dipinggirkan Kerajaan Madani, mengambil kira pelbagai daya usaha kerajaan dalam mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.
“Contohnya, daya usaha kerajaan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sebagai strategi serampang dua mata untuk menambah pendapatan rakyat terutama kalangan keluarga miskin, amatlah menarik. Walaupun kos hidup agak tinggi sekarang ini, usaha seperti ini dapat membantu kurangkan beban rakyat,” katanya.
Pemilik perniagaan, Cik Zalmiah Long, 60 tahun, menyifatkan Kerajaan Madani sebagai berjaya membanteras rasuah dan birokrasi, yang sering menjadi tekanan kepada pengusaha sepertinya.
“Saya melihat kejayaan membasmi rasuah ini sebagai satu perkara besar kerana rasuah ini adalah ‘pembunuh senyap’ yang boleh merosakkan masyarakat dan membinasakan negara.
“Kalau diikutkan, saya berbangga dengan Kerajaan Datuk Anwar kerana banyak perkara yang gagal dilakukan kerajaan sebelum ini seperti rasionalisasi subsidi, kenaikan gaji dan banteras rasuah, dijayakan dengan baik oleh kerajaan hari ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg