KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu membuang empat ‘penyakit’ yang membelenggunya ketika ini jika mahu kembali kuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi BN Wilayah Persekutuan merangkap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata empat ‘penyakit’ itu, termasuk delusi kononnya ia masih mendapat sokongan rakyat, yang menjadi punca kelemahan gabungan itu dalam beberapa siri PRU sebelum ini.
“Kedua, ‘penyakit’ amnesia (mudah lupa). Terlupa akan sebab BN diwujudkan, lupa apa tujuan perjuangan asal dengan berkorban masa dan wang ringgit. Sebaliknya kita kini bekerja untuk apa kita akan dapat. Ini perlu diperbetul.
“Seterusnya ‘penyakit’ inersia, iaitu enggan buat perubahan. Keempat, ‘arrogant’ (sombong), tidak boleh terima teguran, tidak boleh terima kesalahan, tidak mahu bertolak ansur,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada 24 November.
Datuk Johari berkata beliau yakin BN akan kembali memerintah dengan cemerlang sekiranya semua ahli BN, termasuk parti komponen, bersatu hati untuk meraih kejayaan.
Beliau berkata BN perlu menyusun strategi bukan saja untuk mempertahankan kerusi, bahkan merampas kawasan dikuasai pembangkang, termasuk dua kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya dan Labuan, yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).
“Saya nak minta kepada pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), ‘book’ (tempah) awal Labuan dan Putrajaya untuk BN bertanding.
“Yang lain, terserah kepada budi bicara beliau (Datuk Ahmad Zahid) untuk memikirkan bagaimana dapat bersama dalam Kerajaan Perpaduan khususnya dalam konteks lebih besar,” katanya, lapor Malaysiakini.
Katanya, BN juga perlu menyusun strategi bukan sahaja bagi mempertahankan kerusi dimenangi malah merampas kawasan dikuasai pembangkang.
Datuk Ahmad Zahid dalam ucapannya ketika merasmikan konvensyen itu menyasarkan untuk BN bertanding di lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan PRU-16, bagi mewakili Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan rakan parti dalam kerajaan.
“Apa yang penting kini, Wilayah Persekutuan mesti diputihkan dan saya mengharapkan bukan sekadar tiga kerusi di wilayah termasuk kawasan Datuk Jo (Datuk Johari, Ahli Parlimen Titiwangsa), malah juga kita putihkan Putrajaya dan Labuan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg