Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6.5j pelancong S’pura lawat M’sia sehingga Sep 2024

Jumlah naik sekitar 10.2% berbanding Jan hingga Sep 2023
Oct 24, 2024 | 11:15 AM
Penerbangan sulung pesawat Scoot yang membawa 112 penumpang dari Singapura mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka, pada petang 23 Oktober.
Penerbangan sulung pesawat Scoot yang membawa 112 penumpang dari Singapura mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka, pada petang 23 Oktober. - Foto NSTP

MELAKA: Malaysia menerima sejumlah 18.4 juta pelancong antarabangsa dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, dengan sejumlah 6.5 juta daripadanya adalah pelancong dari Singapura.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata jumlah ketibaan pelancong Singapura sebanyak 6.5 juta itu merekodkan peningkatan sekitar 10.2 peratus, berbanding Januari hingga September 2023.

“Peningkatan ini menekankan status Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi jiran terdekat kita dan komitmen terhadap nilai kerjasama dan kemakmuran bersama,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penerbangan sulung Scoot dari Singapura ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, Melaka, pada 23 Oktober.

Penerbangan sulung syarikat tambang rendah milik Singapore Airlines, Scoot Private Limited (Scoot), ke Melaka bermula 23 Oktober, menjadi langkah awal untuk meningkatkan akses antarabangsa ke negeri bersejarah itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abd Razak Abd Rahman, selain memudahkan pelancong dari Singapura ke Malaysia, ia turut memberi pilihan kepada penumpang antarabangsa lain ke Melaka dengan menjadikan Singapura sebagai lokasi transit.

Dengan kekerapan penerbangan Scoot ke Melaka sebanyak lima kali seminggu, kerajaan Melaka yakin penerbangan itu dapat memenuhi permintaan tinggi serta memudahkan perancangan perjalanan pelancong. tambahnya.

“Penerbangan ini akan beroperasi pada Isnin, Rabu, Jumaat, Sabtu, dan Ahad, di samping penyediaan penerbangan malam pada hari tertentu untuk memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang, terutama kepada mereka yang memerlukan waktu perjalanan lebih fleksibel,” katanya.

Dengan harga tambang kelas ekonomi bermula daripada $69 (RM 227), termasuk semua caj dan cukai, Scoot menawarkan perjalanan yang bukan sahaja mesra bajet, bahkan memberi peluang kepada lebih ramai pelancong untuk menikmati keindahan dan keunikan Melaka.

“Harga yang kompetitif ini diharapkan dapat menarik lebih ramai pelancong dari Singapura dan negara jiran lain ke Melaka,” kata Datuk Abd Razak.

Dalam pada itu Datuk Tiong berkata Malaysia berhasrat memperkukuh kerjasama serantau apabila menjadi Pengerusi Asean pada 2025, dengan meningkatkan daya usaha pelancongan secara kolaboratif, mempromosikan keterhubungan yang lebih baik dan pertumbuhan ekonomi di seluruh Asia Tenggara.

“(Misalnya), kementerian akan terus membentuk kerjasama strategik dan usaha sama dengan syarikat penerbangan antarabangsa untuk menggiatkan promosi dan merangsang permintaan perjalanan.

“Matlamat utama kami ialah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg