SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menahan enam individu yang disyaki terbabit dalam penganjuran Program Motivasi Rumah Tangga eHati pada 27 hingga 30 September 2024, yang mencetuskan kontroversi dengan dakwaan melibatkan kegiatan tidak bermoral.
Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata mereka terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berumur di antara 26 dengan 47 tahun di Shah Alam, Selangor, yang ditahan pada 18 Julai.
“Semua yang disyaki ditahan dan diambil rakaman keterangan bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam penganjuran Program Motivasi Rumah Tangga eHati pada September 2024 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), Seksyen 10 (menghina atau menyebabkan dipandang hina, agama Islam).
“Juga Seksyen 16 (Penerbitan Agama yang Bertentangan dengan Hukum Syarak), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Mohd Shahzihan berkata sehingga kini Jais sudah dan sedang merakam keterangan 38 orang saksi bagi membantu siasatan kes itu.
Sebelum ini, media Malaysia melaporkan pihak berkuasa telah memulakan siasatan terhadap pasangan suami isteri yang didakwa terbabit dalam penganjuran program motivasi rumah tangga yang dikaitkan dengan perbuatan menjolok mata dan fahaman meragukan.
Ia susulan laporan berhubung penganjuran program berkenaan yang diterima pihak Jais baru-baru ini.
Pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi terbabit bersama empat individu lain sebelum ini telah direman selama tiga hari bermula 16 Julai lalu bagi membantu siasatan.
Siasatan polis sebelum ini mengesahkan terdapat kegiatan bogel dilakukan empat individu pada program motivasi eHati di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, pada 27 hingga 30 September 2024 itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketika itu berkata kegiatan terbabit berlaku di majlis yang diadakan pada waktu malam dikenali sebagai, Queens Night, anjuran syarikat motivasi terbabit.
“Pada malam Queens Night iaitu hari terakhir program eHati memang ada kegiatan bogel dilakukan empat individu membabitkan fasilitator dan peserta program berkenaan,” katanya.
Jais sebelum ini turut menafikan pihaknya memberi kebenaran kepada Syarikat eHati International Sdn Bhd bagi meneruskan program motivasi rumah tangga sebagaimana didakwa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg