Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

600 kamera badan disedia bagi pegawai Imigresen M’sia

Apr 25, 2025 | 12:47 PM
Malaysia, PM Anwar, imigresen
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan), bersama Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) bergambar dengan tetamu pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, pada 24 April. - Foto FACEBOOK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia bakal menerima sebanyak 600 unit kamera badan untuk melengkapi tugas pegawai imigresen bagi mempertingkatkan integriti agensi kerajaan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perolehan kelengkapan itu akan mula diterima pada 28 April ini.

“Isu integriti antara perkara yang sangat dititikberatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengambil inisiatif menghubungi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, meminta supaya diikhtiarkan pemakaian kamera badan bagi pegawai imigresen,” katanya, lapor Berita RTM.

Datuk Saifuddin Nasution memaklumkan perkara itu dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Aidilfitri KDN di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya, pada 24 April, yang turut dihadiri Datuk Anwar.

Selain itu, beliau berkata bermula Jun ini juga, sistem pagar automatik akan menggantikan sebahagian besar kaunter manual di lapangan terbang antarabangsa.

Kata Datuk Saifuddin Nasution, ia sesuai dengan kehendak Datuk Anwar bagi mempercepat proses keluar masuk pelancong di Malaysia.

“Seperti mana yang Perdana Menteri kehendaki, pada Jun ini juga, sebahagian besar lapangan terbang antarabangsa akan menggantikan kaunter manual dengan sistem pagar automatik.

“Ini membolehkan pelepasan pengembara dijalankan dengan lebih pantas, itu komitmen kita,” katanya.

Sebelum ini media Malaysia melaporkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pemakaian kamera badan bagi pegawai imigresen akan dikuatkuasakan bagi kakitangan yang bertugas di kaunter pintu masuk terutama di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor.

Setakat ini, antara agensi yang sudah menguatkuasakan pemakaian kamera badan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKMD).

Dilaporkan sehingga kini lebih 7,000 kamera badan sudah digunakan di 157 ibu pejabat polis daerah dan 640 balai polis di serata Malaysia, manakala 100 pegawai JPJ juga sudah dilengkapi kemudahan itu.

JKDM pula melaksanakan pemakaian kamera badan bagi anggota dan pegawainya yang bertugas di kawasan sensitif, antaranya membabitkan kakitangan yang bertugas melakukan pemeriksaan bagasi penumpang di lapangan terbang dan kargo.

Langkah menguatkuasakan pemakaian kamera badan adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk kakitangan yang bertugas di lapangan demi menjaga tatakelakuan, serta mengelak penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg