Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DBKL, Imigresen M’sia laksana operasi bersepadu gempur lubuk warga asing

Apr 16, 2025 | 11:00 AM
Anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen melaksanakan operasi bersepadu ke atas penjaja warga asing di sekitar ibu kota Kuala Lumpur pada 15 April.
Anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen melaksanakan operasi bersepadu ke atas penjaja warga asing di sekitar ibu kota Kuala Lumpur pada 15 April. - Foto FACEBOOK DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen pada 15 April melaksanakan operasi bersepadu ke atas penjaja warga asing di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Operasi dilakukan ke atas premis perniagaan sekitar Lorong Haji Taib 4, Chow Kit, dan Jalan Berangan, Bukit Bintang, di sini.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan dibuat berdasarkan pemantauan dan risikan yang dijalankan pegawai penguat kuasa di sekitar kawasan itu bagi mengenal pasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

“Sebanyak 15 kes sitaan dilaksanakan serta-merta hasil satu operasi dijalankan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

“Sebanyak 13 tindakan dilaksanakan ke atas warga asing dan dua lagi tindakan membabitkan penjaja warga negara.

“DBKL juga turut mengeluarkan dua notis tawaran kompaun ke atas premis yang menggajikan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada 15 April, lapor Berita Harian Malaysia.

Selain itu, katanya, seramai 41 orang warga asing dengan 30 daripadanya lelaki dan 11 lagi wanita dibawa oleh Jabatan Imigresen ke Ibu Pejabat Imigresen WPKL bagi tindakan dokumentasi dan rekod.

“Semua barangan yang dikenakan tindakan sita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur, untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.

“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat melalui pautan, https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg