KUALA LUMPUR: Kes jangkitan influenza di Malaysia semakin melonjak, dengan Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan kira-kira 6,000 murid di sekolah di bawahnya dijangkiti virus itu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata beberapa sekolah diarahkan tutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), antaranya sebuah sekolah di Johor.
Bagaimanapun beliau tidak memaklumkan jumlah sebenar sekolah yang melaksanakan penutupan sementara itu.
Katanya, KPM sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memantau perkembangan jangkitan berkenaan, selain akur jika ada mana-mana sekolah perlu ditutup demi keselamatan pelajar dan warga sekolah.
“Kami sudah minta pegawai di peringkat Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk bersiap sedia kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula pada 3 November nanti.
“(Setakat ini) kira-kira 6,000 pelajar dikenal pasti berhadapan jangkitan influenza.
“Namun kes itu tidak tertumpu di satu kawasan saja, sebaliknya melibatkan sekolah di beberapa negeri,” katanya pada sidang media khas, lapor Harian Metro.
“Tidak semua sekolah dengan kes influenza perlu ditutup. Ada yang hanya perlu memberikan cuti sakit kepada pelajar terlibat saja,” katanya.
Pada masa sama, Dr Mohd Azam menyarankan semua institusi pendidikan merujuk garis panduan pengurusan penyakit berjangkit serta melaporkan terus kepada pejabat kesihatan.
Katanya, pelajar dan warga sekolah digalak menggunakan pelitup muka, selain mengurangkan kegiatan membabitkan murid-murid berinteraksi secara ramai.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan kes jangkitan influenza dalam kalangan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menunjukkan aliran penurunan daripada 2,724 kes kepada 1,290 kes di seluruh Malaysia.
“Alhamdulillah, nampak trend penurunan kes jangkitan influenza di MRSM seluruh Malaysia.
“Pembelajaran dan pengajaran dalam talian (PDPR) akan terus dilaksanakan di 34 MRSM sehingga diputuskan rantaian jangkitan,” katanya di Facebook.
Pada 11 Oktober, seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Sarawak, dilaporkan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan influenza.
Beliau berkata meskipun ujian makmal menunjukkan mangsa positif jangkitan itu, komplikasi utamanya adalah radang otak yang boleh berpunca daripada virus lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg