KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 65 kes kemudaratan dalam talian berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) sejak 1 Januari 2023 hingga 31 Mei lalu.

Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pihaknya komited memperkukuh aspek pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kandungan media dalam talian termasuk media sosial, berkaitan isu 3R yang membabitkan penghinaan terhadap institusi diraja.

Beliau berkata ia selaras dengan usaha kerajaan untuk memelihara keharmonian masyarakat, menghormati institusi negara dan memastikan ruang digital kekal selamat serta bertanggungjawab.

“Daripada keseluruhan kes yang dikendalikan, 10 kes telah didakwa di mahkamah, lapan kes dikenakan kompaun dan 27 kes diberikan Notis Amaran. Manakala 20 kes lagi masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuantan daripada Perikatan Nasional, Wan Razali Wan Nor, mengenai jumlah kes penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu yang dikesan di media sosial serta bentuk tindakan yang diambil.

Datuk Fahmi berkata SKMM turut mengemukakan penurunan kandungan yang mengandungi unsur jelik atau jelik melampau berkaitan isu 3R termasuk kandungan menghina institusi diraja.

Hasil daripada tindakan itu beliau berkata sebanyak 744 kandungan berjaya diturunkan oleh pemberi perkhidmatan.

“Tindakan ini mencerminkan kerjasama berterusan antara SKMM dan pemberi perkhidmatan dalam memastikan kandungan yang melanggar undang-undang serta garis panduan komuniti platform dapat ditangani dengan sewajarnya demi mengekalkan keharmonian dan ketenteraman awam.

“SKMM turut menyiasat aduan yang diterima dan menyediakan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi pertimbangan serta keputusan berkaitan tindakan lanjut, termasuk pendakwaan,” katanya.

Sebelum ini beberapa ahli politik turut disiasat dan ada yang berdepan pendakwaan di mahkamah kerana terbabit isu 3R.

Selain kandungan yang mencabar sensitiviti 3R, Datuk Fahmi baru-baru ini turut dilaporkan berkata sebanyak 15,296 akaun palsu menggunakan nama 26 kerabat diraja dikenal pasti sepanjang tempoh Januari hingga April 2026.

Penemuan itu berdasarkan pemantauan SKMM serta aduan awam.

Datuk Fahmi berkata akaun palsu itu turut membabitkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.