Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia kesan ribuan kandungan jelik libat kanak-kanak, 40,000 bahan eksploitasi seksual dirampas

Jun 24, 2025 | 1:11 PM
Kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai ‘Group Budak-Budak Sekolah Rendah’ antara yang berjaya ditutup Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Gambar kanan menunjukkan pempengaruh. Cik Wee Yun Nee atau Mek Yun, 28 tahun, antara mangsa yang gambarnya ketika zaman persekolahan dieksploitasi pengikut kumpulan FB terbabit.
Kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai ‘Group Budak-Budak Sekolah Rendah’ antara yang berjaya ditutup Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Gambar kanan menunjukkan pempengaruh. Cik Wee Yun Nee atau Mek Yun, 28 tahun, antara mangsa yang gambarnya ketika zaman persekolahan dieksploitasi pengikut kumpulan FB terbabit. - Foto INSTAGRAM WEE YUN NEE

Jenayah eksploitasi seksual melibatkan kanak-kanak secara dalam talian di Malaysia kian membimbangkan, dengan sejumlah 1,501 kandungan jelik melibatkan golongan itu di media sosial dikenal pasti.

Daripada jumlah tersebut, 94 peratus atau 1,415 kandungan berjaya diturunkan hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), penyedia wadah digital dan aduan awam.

Dalam kenyataan bersama SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 13 individu ditahan menerusi pemantauan harian dan operasi seperti ‘Op Pedo’ yang dilaksanakan pada Disember 2024 dengan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dirampas di beberapa negeri serata Malaysia.

“SKMM dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, PDRM menegaskan komitmen membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian melalui penguatkuasaan berterusan dan pendidikan kesedaran.

“Tindakan menyebar, menyimpan atau mengkomersialkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda hingga RM1 juta ($301,100), penjara lima tahun atau kededuanya sekali,” kata kenyataan itu pada 23 Jun.

Selain itu kenyataan terbabit turut menyebut perbuatan menghasilkan, menyebar, berkongsi, menjual, membeli, membuat capaian dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak juga merupakan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5 hingga 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dengan perkembangan itu, SKMM dan PDRM menjalankan pelbagai kempen dan program kesedaran bagi mengekang penyebaran jenayah seksual kanak-kanak.

“Sebagai pendekatan menyeluruh, SKMM mempergiat usaha kesedaran menerusi Kempen Internet Selamat (KIS) yang memberi tumpuan kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat.

“Salah satu matlamat kempen ini menekankan larangan pemilikan akaun media sosial oleh kanak-kanak berumur 13 tahun dan ke bawah.

“SKMM dan PDRM menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin masyarakat, pemilik platform dan pengguna Internet agar bersama-sama membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak,” katanya.

Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan kewujudan Kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai ‘Group Budak-Budak Sekolah Rendah’ yang didakwa menyebarkan gambar remaja perempuan dengan pelbagai komen jijik dan tidak senonoh daripada pengguna media sosial.

Kumpulan FB dengan 12,000 pengikut itu kemudian ditutup selepas SKMM menerima aduan daripada orang ramai dan siasatan kes itu sedang dijalankan pihak berkuasa.

Pempengaruh media sosial, Cik Wee Yun Nee, 28 tahun, atau lebih dikenali sebagai Mek Yun, merupakan antara mangsa kumpulan FB terbabit, dan beliau menggesa pihak berkuasa bertindak segera bagi menyekat penyebaran kandungan tidak bermoral itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg