Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SKMM siasat kes pempengaruh beri gelandangan nasi lauk tulang ayam

Aug 6, 2025 | 3:59 PM
Tangkap layar video tular memaparkan tiga lelaki memberi nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan.
Tangkap layar video tular memaparkan tiga lelaki memberi nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan. - Foto tular NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah memulakan siasatan berdasarkan aduan orang ramai berhubung penyebaran video memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.

SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius tindakan menghasil dan menyebarkan kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan dan menimbulkan keresahan orang ramai.

“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan saja tidak beretika, malah mendorong kepada membiasakan budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.

“SKMM menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan itu sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” kata SKMM dalam kenyataan pada 5 Ogos, lapor Harian Metro.

Dalam pada itu, SKMM mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Menurutnya, sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 (Akta 588).

“Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 ($152,300), dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“SKMM komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalah guna, sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Dalam video tular itu, tiga lelaki muda dilihat sedang menikmati hidangan di restoran KFC sebelum meletakkan tulang ayam mereka dalam sebungkus nasi dan membungkus makanan itu.

Ketiga-tiga mereka kemudian menghampiri seorang lelaki yang terbaring di sebuah lorong dipercayai gelandangan dan memberikannya bungkusan makanan.

Selepas meninggalkan kawasan itu, pempengaruh itu kemudian memberi makan kepingan ayam kepada seekor anjing.

Salah seorang individu dalam talian yang terlibat dalam video itu kemudian mendakwa bahawa klip itu dirakam dengan persetujuan lelaki gelandangan itu dan bertujuan menjana kandungan ‘amal’.

Walaupun pempengaruh itu sudah membuat permohonan maaf, pelbagai pihak yang marah mendesak SKMM mengambil tindakan tegas terhadap mereka kerana perbuatan itu tidak boleh diterima.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg