Topik diikuti
Pergi ke BHku652 penjawat awam M’sia terima ganjaran RM1.18j kerana adu rasuah
652 penjawat awam M’sia terima ganjaran RM1.18j kerana adu rasuah
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.18 juta ($370,000) ganjaran sudah diberikan kepada 652 penjawat awam yang tampil melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.
Ganjaran itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap keberanian mereka dalam membantu membanteras kegiatan rasuah.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata daripada jumlah itu, seramai 529 individu dihulur ganjaran wang tunai berserta sijil penghargaan.
Sementara 123 individu lagi menerima sijil atas komitmen cemerlang membendung jenayah berkenaan.
Katanya, pemberian ganjaran dan pengiktirafan itu terbukti menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti dalam sektor perkhidmatan awam.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam.
“Tetapi juga menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam yang lain,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook SPRM, pada malam 22 September, lapor Harian Metro.
Terdahulu, Datuk Abd Halim mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Datuk Abd Halim berkata empat agensi utama yang mencatatkan bilangan penerima pengiktirafan tertinggi sepanjang tempoh berkenaan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merekodkan jumlah penerima tertinggi sepanjang tempoh 2012 hingga 2025 iaitu seramai 437 orang.
Katanya, ia diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seramai 64 orang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seramai 33 orang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) seramai 21 orang.
“Bagi penilaian 2026, sebanyak 54 calon baharu daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan membabitkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
“Calon terbabit merangkumi 38 pegawai PDRM, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (12 calon), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (tiga calon) dan JIM (seorang calon).
“Semua calon sudah melepasi tapisan keutuhan SPRM serta semakan rekod jenayah PDRM,” katanya.
Menurutnya antara kes berprofil tinggi yang mendapat tumpuan dalam penilaian tahun ini termasuk tindakan berani seorang pegawai PDRM di Perlis yang menolak tawaran suapan RM200,000 berhubung kes rampasan dadah syabu seberat 1.8 tan, serta kes penolakan rasuah bernilai RM45,000 di Johor.
Menurutnya, penjawat awam perlu memenuhi kriteria ketat untuk layak menerima pengiktirafan, termasuk membuat aduan rasmi dan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses penyiasatan hingga perbicaraan di mahkamah selesai.
“Kita juga berhasrat skop pemberian ganjaran ini diperluas ke seluruh sektor perkhidmatan awam, terutamanya pegawai di bahagian perolehan.
“Keberanian penjawat awam untuk tampil melaporkan cubaan rasuah amat penting dalam membantu usaha membendung kegiatan rasuah dan memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam,” katanya.