JOHOR BAHRU: Sebanyak tujuh laporan polis berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 diterima sejak hari penamaan calon pada 27 Jun sehingga 28 Jun, dengan tiga daripadanya telah dibuka kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan itu melibatkan satu kes khianat menggunakan api atau bahan letupan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, satu kes khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta satu lagi kes di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata meskipun beberapa laporan diterima, keseluruhan situasi keselamatan sepanjang tempoh kempen PRN Johor masih berada dalam keadaan aman, terkawal dan tidak menjejaskan ketenteraman awam.

“Sehingga 11.59 malam pada 28 Jun, sebanyak 420 permohonan permit bagi kegiatan berkempen diterima dan 414 daripadanya telah diluluskan.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 191 kegiatan politik telah berlangsung dan dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua kegiatan mematuhi undang-undang serta syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Jun.

Datuk Ab Rahaman berkata pihaknya akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang pelanggaran undang-undang diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti.

Menurut beliau, pemantauan terhadap platform media sosial turut dipertingkatkan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi mengesan penyebaran berita palsu, maklumat tidak sahih serta kandungan berunsur provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Mengulas keadaan lalu lintas sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata situasi di semua lokasi berkaitan pilihan raya berada dalam keadaan lancar dan terkawal walaupun berlaku peningkatan jumlah kenderaan di beberapa kawasan berikutan kehadiran penyokong serta orang ramai.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan petugas polis, merancang perjalanan lebih awal dan mengamalkan sikap bertimbang rasa ketika menggunakan jalan raya,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran PRN Johor, seramai 3,903 petugas PDRM membabitkan 544 pegawai, 3,247 anggota dan 112 pegawai awam diatur gerak ke seluruh negeri untuk melaksanakan kawalan keselamatan, rondaan pencegahan jenayah, pemantauan kegiatan politik, kawalan lalu lintas serta penugasan di bilik gerakan.

Datuk Ab Rahaman turut menyeru semua parti politik, calon dan penyokong supaya terus mengamalkan kempen yang matang, menghormati undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“PDRM Johor kekal komited melaksanakan penugasan secara profesional, berkecuali dan berintegriti bagi memastikan keseluruhan proses PRN Johor ke-16 berlangsung dalam suasana aman, selamat dan teratur,” katanya.