Topik diikuti
Pergi ke BHku72 rakyat M’sia ditahan di luar negara termasuk S’pura akibat dadah
72 rakyat M’sia ditahan di luar negara termasuk S’pura akibat dadah
KUALA LUMPUR: Seramai 72 rakyat Malaysia ditahan di luar negara, termasuk di Singapura, kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah.
Penahanan mereka turut membawa kepada rampasan keseluruhan kira-kira 1,704 kilogram dadah bernilai RM81.76 juta ($25.6 juta) bagi tempoh Januari hingga 15 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata sejumlah 48 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan, dengan tangkapan melibatkan 57 lelaki dan 15 wanita.
Beliau berkata Thailand mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi, iaitu 19 orang, diikuti Indonesia 16 orang, serta Taiwan dan Singapura masing-masing lapan orang.
Selain itu, lima individu telah ditangkap di Jepun, empat di Filipina, masing-masing tiga di India dan Hong Kong, dua di Macau, serta masing-masing seorang di Korea Selatan, Nigeria, Maldives dan Sri Lanka.
“JSJN memandang serius kemungkinan sindiket dadah antarabangsa mempergunakan warga Malaysia sebagai pembawa atau penghantar dadah melalui pelbagai kaedah, termasuk tawaran pekerjaan, imbuhan lumayan, pembiayaan perjalanan serta penghantaran barangan bagi pihak ketiga.
“Taktik sedemikian berpotensi memperdaya individu yang kurang menyedari risiko dan implikasi perundangan, sekali gus mendedahkan mereka kepada tindakan undang-undang yang berat di negara berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan pada 21 Oktober, lapor Harian Metro.
Datuk Hussein berkata antara kes yang mendapat perhatian ialah penahanan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Jepun, pada Oktober lepas kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai RM3.1 juta, selain penahanan rakyat Malaysia dalam kes berkaitan dadah di Macau dan Singapura.
Beliau berkata kes berkenaan memperlihatkan risiko penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa yang boleh membawa kepada hukuman berat mengikut undang-undang negara terbabit.
“Setiap warga Malaysia yang berada di luar negara adalah tertakluk kepada undang-undang negara tersebut.
“Beberapa negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati bagi kesalahan dadah tertentu tertakluk kepada jenis kesalahan, kuantiti dadah serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Negara lain turut mengenakan hukuman penjara yang panjang atau seumur hidup bagi kesalahan pengedaran dan penyeludupan dadah yang serius.
“Setiap individu perlu memahami bahawa penglibatan dalam jenayah dadah boleh membawa akibat yang amat berat terhadap masa depan diri dan keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, Datuk Hussein mengingatkan masyarakat khususnya golongan belia, pelajar dan individu yang bakal ke luar negara supaya berwaspada serta menolak sebarang tawaran pekerjaan, perjalanan percuma atau imbuhan lumayan yang mencurigakan.
“Orang ramai juga dilarang membawa, menjaga atau menyerahkan barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungan dan tujuan sebenar.
“Jangan mudah terpedaya, sindiket boleh memperalatkan sesiapa sahaja sebagai keldai dadah.
“Tiada kompromi terhadap kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah.
“Masyarakat diingatkan agar tidak mudah diperalatkan oleh sindiket demi keuntungan sementara yang boleh mengundang hukuman berat, mengancam masa depan serta mencemarkan imej negara,” katanya.