Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Runner’ sindiket edar dadah rentas sempadan M’sia, Thailand ditahan polis
GEORGE TOWN (Pulau Pinang): Taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai transit, tumpas selepas 252.2 kilogram (kg) syabu, atau dikenali sebagai metamfetamina, dirampas dalam operasi bersama polis Malaysia dan Thailand.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim, berkata kejayaan itu adalah hasil perkongsian maklumat intipan dan tindakan berasaskan penyelarasan antara Pejabat Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, rampasan yang dilakukan di Malaysia itu membabitkan 86.2 kg syabu dianggarkan bernilai RM4.31 juta ($1.36 juta), manakala 166 kg lagi dirampas pihak berkuasa Thailand.
“Kejayaan Op Zoraptera ini membuktikan keberkesanan kerjasama erat serta perkongsian maklumat dua negara dalam merencatkan kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan,” katanya, lapor Harian Metro.
Operasi itu dilancarkan menyusuli penahanan seorang lelaki tempatan oleh pihak berkuasa Thailand dalam sekatan jalan raya di Hua Hin, Prachuap Khiri Khan, pada 8 Ogos.
Hasil pemeriksaan pada kenderaan suspek tersebut membawa kepada penemuan 166 kg syabu sebelum maklumat risikan disalurkan kepada JSJN untuk tindakan lanjut.
Maklumat berkenaan telah membolehkan polis mengesan ahli sindiket yang dipercayai menggunakan kenderaan diubah suai bagi menyembunyikan dadah itu.
Menyusuli perkara itu, tiga serbuan berasingan dilakukan di Selangor dan Pulau Pinang pada 13 serta 14 Ogos.
Ia membawa kepada penahanan tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand, kesemua mereka berusia 19 hingga 25 tahun, termasuk pasangan suami isteri.
Dalam serbuan di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah hotel di Butterworth, polis merampas 83 paket plastik berisi 86.2 kg syabu di dalam sebuah kenderaan.
“Sindiket dikesan membuat ruangan khas yang diubah suai pada kenderaan terbabit semata-mata untuk menyeludup dan menyimpan bekalan dadah,” katanya.
Siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak Jun tahun 2025 dengan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
Datuk Lim berkata ‘runner’ atau penghantar dadah dibayar RM6,000 bagi setiap penghantaran yang biasanya dijayakan oleh dua hingga tiga individu.
Tiga suspek termasuk pasangan suami isteri itu sudah didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth pada 27 Ogos lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala remaja berusia 19 tahun dijadikan saksi pendakwaan.
Polis turut menyita lima kenderaan dengan nilai keseluruhan RM420,700 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi melumpuhkan rangkaian kewangan sindiket itu, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta mencecah RM4.73 juta.
