Topik diikuti
Pergi ke BHku8 individu ditahan selepas tutup Linkedua bagi lumba motosikal haram
Video tular paparkan beberapa individu halang lalu lintas
KULAI: Lapan lelaki ditahan selepas disyaki menutup laluan awam bagi membolehkan dua penunggang motosikal berlumba di Lebuhraya Linkedua di Johor, Malaysia.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata semua suspek warga tempatan itu berusia antara 26 dengan 45 tahun.
Penahanan dilakukan selepas satu video tular memaparkan beberapa individu menghalang lalu lintas sebelum dua penunggang motosikal dilihat bersaing sesama sendiri.
Kejadian dipercayai berlaku dari Kilometer 33 di susur Tol Senai Utara hingga Kilometer 31 di susur Johor Premium Outlets (JPO), pada 11.54 pagi, 23 Ogos.
“Susulan video tular itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai menahan lapan lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan pada 23 Ogos.
Datuk Ab Rahaman berkata ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang jenis dadah.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pada 24 Ogos bagi mendapatkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan.
“Jalan raya bukan tempat untuk berlumba atau melakukan aksi berbahaya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta tidak terbabit atau menyokong sebarang kegiatan samseng jalanan,” katanya.
Sementara itu, Harian Metro melaporkan lapan individu termasuk seorang pempengaruh permotoran yang dipercayai terbabit dalam video tular berkenaan, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman bermula 24 Ogos sehingga 27 Ogos dikeluarkan Majistret R Salini, selepas mendapat permohonan daripada polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Ia bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
