Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menggerakkan seramai 3,565 petugas bagi memastikan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung esok berjalan dalam keadaan selamat, lancar dan terkawal.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata pasukan itu kini berada pada tahap kesiapsiagaan sepenuhnya menjelang pengundian awal yang akan membabitkan anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negeri.

Beliau berkata kekuatan itu terdiri daripada 647 pegawai polis, 2,806 anggota polis dan 112 pegawai awam yang akan melaksanakan pelbagai penugasan sepanjang proses pengundian awal.

“Antara penugasan yang akan dilaksanakan termasuk kawalan keselamatan di pusat mengundi awal, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, penugasan di bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang di semua kawasan yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Julai.

Menurut beliau, proses pengundian awal akan berlangsung di 64 pusat mengundi awal di seluruh Johor, merangkumi 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal ATM.

Beliau berkata bagi PRN Johor kali ini, seramai 12,710 pengundi awal daripada PDRM berdaftar untuk mengundi, dengan 12,067 daripadanya akan menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi awal esok, manakala baki 643 lagi akan mengundi melalui kaedah undi pos.

Datuk Ab Rahaman berkata PDRM Johor akan terus mempertingkat tahap kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang proses pengundian awal, serta baki tempoh berkempen sehingga hari pengundian.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran undang-undang akan dikenakan tindakan tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas di lapangan bagi memastikan PRN Johor Ke-16 berlangsung dalam suasana aman, harmoni, selamat dan teratur.