Topik diikuti
Pergi ke BHkuLapan kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Johor
Lapan kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Johor
Polis terima lebih 2,000 permohonan permit, lebih 1,100 aktiviti politik dipantau
Lapan kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Johor
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor membuka lapan kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 setakat 2 Julai, sambil menegaskan keadaan keselamatan sepanjang tempoh berkempen kekal aman dan terkawal.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata sepanjang tempoh 27 Jun hingga 2 Julai, sebanyak 2,037 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik diterima, dengan 1,849 daripadanya diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata bagi tempoh 29 Jun hingga 2 Julai sahaja, polis menerima 1,617 permohonan permit dan meluluskan 1,435 daripadanya.
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 1,155 aktiviti politik telah berlangsung dan dipantau oleh petugas PDRM bagi memastikan setiap program dilaksanakan secara teratur, mematuhi peruntukan undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 Julai.
Mengulas kes berkaitan pilihan raya, Datuk Ab Rahaman berkata lima kertas siasatan dibuka antara 29 Jun dengan 2 Julai.
Daripada jumlah itu, satu kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api atau bahan letupan, manakala dua lagi kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Selain itu, dua lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.
Beliau berkata secara keseluruhannya lapan kertas siasatan dibuka sejak hari penamaan calon pada 27 Jun lalu dan polis akan terus memperhebat pemantauan serta penguatkuasaan sepanjang tempoh berkempen.
“PDRM Johor akan terus mempertingkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh bagi memastikan setiap pelanggaran undang-undang diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Menurut beliau, polis turut mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi menerusi penugasan anggota secara berterusan di semua kawasan pilihan raya bagi memastikan kelancaran trafik, keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang PRN Johor.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua parti politik, calon, penyokong dan orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang, syarat permit yang ditetapkan serta mengamalkan kematangan ketika berkempen.
Datuk Ab Rahaman turut mengingatkan semua pihak supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat, selain mengelakkan penyebaran berita palsu atau maklumat tidak sahih, khususnya menerusi media sosial.
Beliau berkata kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan proses demokrasi di Johor berlangsung secara aman, lancar, telus dan berintegriti.
“PDRM Johor kekal komited memastikan keseluruhan proses PRN Johor Ke-16 berlangsung dalam keadaan selamat demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan negeri,” katanya.
