KUALA LUMPUR: Lapan penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir, terbabit dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir.
Education Malaysia Egypt (EME) menyatakan seramai lima penuntut mengalami luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Menurutnya, mereka itu adalah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon.
Katanya, tiga lagi penuntut adalah Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi yang ditempatkan di wad untuk pemerhatian lanjut oleh pihak hospital.
“Menjelang awal pagi (26 Januari), tiga penuntut yang dirawat di wad selamat dibawa ke Hospital Sayed Galal di Kahirah untuk rawatan lanjut.
“Insiden itu mendapat perhatian pihak Universiti Al-Azhar yang menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) Kampus Port Said untuk membantu rawatan pelajar, seterusnya memudahkan cara pengurusan bersama pihak hospital.
“Selain itu, Setiausaha Pertama (Pendidikan) EME Ahmad Salehuddin Shafie dan Muhammad Nazirul Mubin Abdul Rahman turut bergegas ke Hospital As Salam Port Said untuk melihat sendiri keadaan penuntut berkenaan,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurut EME, pihaknya menasihatkan pelajar sentiasa berhati-hati dan waspada dalam menjalankan sebarang aktiviti supaya terpelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Malang tidak berbau. Mudah-mudahan semua mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir ini dalam peliharaan Allah swt setiap masa,” katanya.
Kementerian Luar Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kahirah dan EME memantau rapi keadaan lapan penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar tersebut.
Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam kementerian itu dalam satu kenyataan media berkata pegawai EME turut melawat penuntut terbabit di Hospital As Salam Port Said dengan segera untuk memberikan bantuan dan meninjau keadaan mereka.
Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Kahirah juga sudah memberikan sokongan kepada penuntut berkenaan dan akan terus memantau dengan teliti untuk memastikan kesejahteraan mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg