Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak pernah dan tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Johor yang diterajui BN selagi gabungan itu terus menerima mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri Besar Johor itu berkata pendirian tersebut bukan berasaskan sentimen perkauman atau sikap angkuh, sebaliknya berpandukan prinsip, mandat rakyat serta tanggungjawab mempertahankan kestabilan negeri.

“Parti Tindakan Demokratik tidak pernah dan tidak akan ada dalam kerajaan Johor BN. Ini hanya boleh menjadi kenyataan jika rakyat Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor yang saya pimpin.

“Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 Jun.

Menurut beliau, sebagai Pengerusi BN Johor, beliau bertanggungjawab menghormati hasrat akar umbi parti di seluruh negeri yang mahu BN bergerak secara sendiri pada PRN Johor akan datang.

Datuk Onn Hafiz berkata keadaan politik di Johor berbeza dengan keadaan di peringkat Persekutuan yang menyaksikan BN dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jelasnya, kerjasama itu diwujudkan susulan tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, sekali gus selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

“Di Johor, BN telah diberi mandat yang jelas oleh rakyat. Kita telah membentuk kerajaan negeri yang stabil, membuktikan prestasi dan mempunyai tanggungjawab meneruskan kerja ini tanpa diganggu oleh percaturan politik yang boleh menggugat kestabilan negeri.

“Di Johor, kita ada cara kita. Ini Umno Johor. Ini BN Johor. Ini bangsa Johor,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Cina Malaysia (MCA) Johor, Encik Lee Ting Han, mempertahankan kenyataan Datuk Onn Hafiz dan menolak dakwaan pendirian politik terhadap DAP mempunyai unsur perkauman.

Beliau berkata konsep bangsa Johor yang menjadi asas pentadbiran kerajaan negeri dibina atas semangat perpaduan dan keterangkuman tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Tuduhan yang mengaitkan pendirian politik dengan perkauman adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti pentadbiran Johor hari ini.

“Kepimpinan Datuk Onn Hafiz sentiasa bergerak berlandaskan semangat bangsa Johor yang melangkaui batas kaum, agama dan latar belakang. Setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan untuk seluruh rakyat Johor tanpa mengira bangsa,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai program kebajikan seperti Bantuan Kasih Johor, Jualan Kasih Johor dan Bakul Makanan Kasih Johor, membuktikan tiada mana-mana kaum dipinggirkan dalam pentadbiran negeri.