KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan seramai 812 individu, termasuk seorang penjawat awam atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan dalam tempoh sembilan hari sehingga 25 Mei.
Mereka yang ditahan adalah 793 lelaki dan 19 wanita berusia antara 16 hingga 72 tahun dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata dalam operasi itu pelbagai jenis dadah dirampas bernilai RM560,107 ($160,575) termasuk pil yaba sebanyak 2,730.67 gram (g), heroin (28.98g), ganja (31,418.28g), syabu (63.4g) dan daun ketum (73.8 kilogram).
Katanya, pelbagai harta turut disita terdiri daripada kenderaan, wang dalam akaun dan wang tunai bernilai RM327,481, dengan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988.
“Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta bernilai RM887,588.78. Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan seramai 60,267 penagih dadah.
“Tumpuan operasi di tempat sasaran yang dikenal pasti iaitu di kawasan aktif atau sarang penagih yang menjalankan kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah,” katanya menerusi satu kenyataan pada 26 Mei, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau berkata operasi bersepadu di sempadan dijalankan bagi mengekang penyeludupan dadah dari negara jiran melalui sempadan ke negara ini.
Pada perkembangan sama, Datuk Muhamad Zaki berkata empat lelaki berusia antara 21 hingga 23 tahun juga ditahan pada 6.30 petang, pada 20 Mei lalu.
Katanya, sejumlah dadah pil yaba, syabu dan kereta Honda Jazz dengan nilai keseluruhan RM78,600 dirampas di tepi sebuah rumah di Kampung Kepulau, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas 40 biji disyaki pil yaba (3.77g) dan 0.54g dadah disyaki syabu. Pemeriksaan lanjut di sebuah kereta Honda Jazz yang berada berhampiran semua suspek berjaya merampas 4,000 biji pil yaba (452.3g).
“Ujian saringan air kencing ke atas empat suspek didapati positif dadah methamphetamine dan dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg