GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang mengesahkan seorang pegawai kanan dan anggotanya ditahan pada 16 Februari lalu atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata pegawai berusia 39 tahun itu didapati positif dadah jenis Benzodiazepines, manakala anggota berpangkat sarjan, 42 tahun, pula positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).
Beliau berkata pemeriksaan ujian air kencing ke atas mereka dilakukan secara rambang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
“Saringan awal kedua-dua anggota polis berkenaan didapati positif dadah dan mereka dibebaskan dalam tempoh 24 jam selepas siasatan selesai. Susulan itu majistret tidak membenarkan lanjutan reman.
“Sekiranya laporan patologi mendapati mereka positif, tindakan tatatertib akan diambil ke atas mereka dan proses itu akan dilakukan JIPS sendiri,” katanya lapor Berita Harian Malaysia pada 19 Februari.
Difahamkan, seramai 67 pegawai dan anggota polis diperiksa dalam saringan itu membabitkan 22 pegawai dan 45 anggota.
Datuk Mohamad Usuf berkata Skim Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) dilakukan secara berkala yang mana pemeriksaan rambang dilakukan terhadap pegawai dan anggota.
“Kita buat pemeriksaan secara berkala bagi memastikan warga polis bebas daripada penyalahgunaan dadah. Sekiranya ada, kita tidak akan berkompromi dan tindakan tegas diambil mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memberi peringatan kepada penyelia di semua peringkat untuk bertanggungjawab dalam mengawal selia pegawai serta anggota masing-masing dari semua sudut bagi mengelak kejadian salah laku dan jenayah.
Beliau menyifatkan kejadian jenayah dan salah laku oleh segelintir pegawai dan anggota yang dilaporkan mutakhir ini, ‘menconteng arang ke muka’ Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Isu pelanggaran tatatertib yang mencemarkan imej PDRM antaranya membabitkan pegawai kanan polis yang didakwa atas kesalahan bunuh selepas melanggar pelajar Tingkatan Lima di Perak; kekerasan terhadap seorang lelaki oleh Ketua Polis Balai di Perak dan dua anggota terbabit kes samun serta rogol pelajar warga asing dalam kereta peronda di Selangor.
Kes lain ialah lima anggota ditahan terbabit kes pemerasan pekerja kilang di Pulau Pinang; penemuan wang tunai RM3,753 ($1,058) daripada seorang sarjan ketika mengadakan sekatan jalan di Selangor; seorang anggota disiasat menyimpan ‘hongbao’ di Kuala Lumpur dan lapan anggota ditahan terbabit pemerasan di Johor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg