KUALA LUMPUR: Seramai 864 individu berprofil tinggi termasuk orang kenamaan (VVIP), Ahli Parlimen (AP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Malaysia, dikesan gagal mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja domestik mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 10,033 majikan pekerja domestik yang dikenal pasti tidak mematuhi kewajipan berkenaan berdasarkan semakan awal Perkeso setakat 1 November lalu.

Ditanya sama ada menteri turut tersenarai dalam kalangan majikan culas itu, beliau mendedahkan wujud individu berstatus lebih tinggi daripada anggota Jemaah Menteri dikesan melakukan kesalahan tersebut.

“Lebih besar daripada menteri pun ada... (864 individu berprofil tinggi), ini termasuk juga mereka yang menyandang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta.

“Kementerian memandang serius isu ketidakpatuhan pendaftaran dan pembayaran caruman Perkeso bagi pekerja domestik.

“Ini termasuk pembantu rumah yang digajikan oleh individu berprofil tinggi, orang kenamaan, AP, Adun serta mana-mana pihak yang bertindak sebagai majikan,” katanya, lapor portal berita Malaysiakini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penyerahan Faedah Perkeso Kepada Mangsa Banjir Nepal di Menara Perkeso, Kuala Lumpur, pada 3 November.

Sehubungan itu, Datuk Ramanan berkata semua majikan terbabit termasuk VVIP diberi tempoh hingga 7 Disember 2026 untuk memenuhi kewajipan mencarum.

Menurutnya, tindakan akan diambil terhadap mereka yang masih gagal berbuat demikian selepas tarikh berkenaan.

Beliau menambah, tindakan penguatkuasaan akan dimulakan dengan denda kompaun, manakala majikan yang ingkar juga berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 ($3,144) atau kededuanya, jika sabit kesalahan.

“Kita tidak mahu memalukan sesiapa... tolong semak sama ada sudah bayar atau belum... kalau sudah bayar, terima kasih... kalau belum bayar, tolong bayar... tiada sesiapa akan terkecuali daripada undang-undang.

“Kita tidak boleh bercakap tentang kebajikan dan hak pekerja sekiranya tanggungjawab paling asas terhadap pekerja di rumah sendiri pun masih gagal kita tunaikan... kepimpinan melalui teladan mesti bermula dengan pematuhan kepada undang-undang,” katanya.

Datuk Ramanan turut mendedahkan seramai 26,669 majikan lagi dikesan mempunyai rekod tunggakan caruman yang kini memerlukan semakan dan tindakan susulan daripada Perkeso.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Perkeso supaya tidak bertolak ansur dalam memperkukuh usaha pemantauan dan penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka.

Datuk Ramanan berkata tujuan utama tindakan itu bukan untuk mengenakan hukuman atau denda, tetapi bagi memastikan pekerja domestik mendapat perlindungan keselamatan sosial sewajarnya.