KUALA LUMPUR: Had kelayakan umum bagi bantuan sosial dan kemiskinan masih berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) peringkat nasional terkini iaitu RM2,705 ($842) yang ditetapkan pada 2024.

Sementara pengelasan pendapatan berasaskan kumpulan B40 (bergaji rendah), M40 (bergaji pertengahan), dan T20 (berpendapatan tinggi) terus dikekalkan sebagai rujukan bagi analisis perangkaan serta pelaksanaan bantuan sosial.

Menteri Ekonomi, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, bagaimanapun berkata kerajaan sedang mempertimbangkan kaedah penentuan kumpulan sasar yang lebih terangkum dan saksama dalam memacu agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Beliau berkata langkah itu bertujuan melengkapkan pengelasan berasaskan pendapatan kasar semata-mata yang tidak menggambarkan beban kewangan sebenar isi rumah akibat perbezaan penempatan, demografi, corak perbelanjaan dan kos sara hidup.

“Kerajaan sedang mempertimbang kaedah-kaedah penentuan kumpulan sasar yang lebih inklusif dan saksama yang menjadi sebahagian agenda RMK13.

“Langkah ini bagi melengkapkan pengelasan berasaskan pendapatan kasar semata-mata, yang tidak menggambarkan beban kewangan sebenar isi rumah akibat perbezaan lokaliti, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah serta kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail, yang minta penjelasan mengenai bila kelas sosioekonomi baharu bagi menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20 akan dilaksanakan.

Encik Akmal Nasrullah berkata antara kaedah yang sedang diteliti ialah penggunaan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI).

“Pendekatan NDI melangkaui penilaian pendapatan kasar dengan mengambil kira pendapatan kasar isi rumah yang ditolak potongan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), cukai pendapatan dan zakat.

Selain itu, kaedah itu turut merangkumi kos Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut lokaliti, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah serta harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Menurutnya, PAKW pada masa ini berfungsi sebagai panduan kecelikan kewangan setempat bagi membantu rakyat merancang perbelanjaan kehidupan wajar keluarga mengikut keperluan masing-masing.

Mengenai tempoh pelaksanaan, katanya kajian semula pengelasan pendapatan terbabit memerlukan penelitian lanjut serta ketersediaan data isi rumah yang lengkap seperti dinyatakan dalam RMK13 supaya dapat memastikan keberkesanan pelaksanaannya.