BATU PAHAT: Gaji premium kini mula ditawarkan kepada anak muda ‘Bangsa Johor’ dengan kadar pendapatan mencecah RM4,000 ($1,279) ke atas bagi golongan lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) baharu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata senario itu sekali gus menyaksikan mereka tidak lagi perlu berhijrah ke negara jiran seperti Singapura atau luar negeri Johor seperti Kuala Lumpur, demi kelangsungan hidup.

Datuk Onn Hafiz berkata lonjakan penawaran gaji premium itu didorong oleh inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bertindak sebagai pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi negeri ketika ini.

Jelas beliau, penawaran pendapatan lebih kompetitif itu akan disesuaikan mengikut kelayakan akademik dan tahap kemahiran teknikal yang dimiliki oleh setiap pemohon.

“Lulusan baharu sekarang, insya-Allah berdasarkan kelayakan, boleh dapat RM4,000 ke atas.

“Kalau lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bergantung kepada tahap, boleh dapat RM4,000 hingga RM5,000 ke atas.

“Ini antara inisiatif yang kita buat,” katanya ketika berucap pada program Ayuh Johor Mahasiswa di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat, Johor, pada 4 Jun, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Datuk Onn Hafiz berkata, kemasukan pelabur asing termasuk komitmen pelaburan terbaru bernilai RM2 bilion daripada sebuah syarikat industri minyak dan gas terkemuka dari Amerika Syarikat bakal membuka ribuan peluang pekerjaan bermutu tinggi di bumi Johor.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Datuk Onn Hafiz berkata Johor menjadi satu-satunya kerajaan negeri yang menggerakkan kerjasama bersepadu membabitkan semua IPT dan agensi berkaitan di bawah Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).

Beliau berkata langkah strategik itu menyatukan entiti penting seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), institusi TVET, institusi pengajian tinggi (IPT), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan HRD Corp bagi menjalankan proses padanan kerja secara agresif.

Bagi tempoh Januari hingga April, JTDC telah memudah cara sebanyak 7,773 penempatan pekerjaan.

Sebelum ini, pada Mac lalu Datuk Onn Hafiz dalam satu kenyataan berkata Johor berjaya mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh empat tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinannya.

Beliau berkata dalam tempoh tersebut, kadar pengangguran di Johor juga kekal rendah sekitar 2.5 peratus.

Selain itu, Johor turut memecahkan rekod Malaysia pada 2025 apabila mencatat jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah Malaysia dengan nilai keseluruhan RM110 bilion.