Topik diikuti
Pergi ke BHkuInisiatif Bantuan Perumahan Kasih Johor terima hampir 9,000 permohonan
Inisiatif Bantuan Perumahan Kasih Johor terima hampir 9,000 permohonan
Bukti keperluan perumahan masih menjadi antara keutamaan rakyat Johor
Inisiatif Bantuan Perumahan Kasih Johor terima hampir 9,000 permohonan
Hampir 9,000 permohonan diterima dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Bantuan Perumahan Kasih Johor, membuktikan betapa kritikalnya keperluan kediaman dalam kalangan rakyat.
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menyaksikan sendiri kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang mendambakan kediaman selesa.
Sesi permohonan bagi fasa keempat dan kelima telah ditutup pada 15 Jun, setelah Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) menerima ribuan penyertaan.
“Angka ini membuktikan bahawa keperluan perumahan masih menjadi antara keutamaan rakyat Johor.
“Saya sendiri melihat kehadiran anak muda, pasangan yang baru berkeluarga, serta pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dengan harapan untuk memiliki kediaman yang lebih selesa dan kehidupan yang lebih baik,” kata beliau dalam satu kenyataan pada 16 Jun.
Semua permohonan kini melalui saringan telus oleh PKPJ bagi memastikan proses pemilihan yang adil.
Sesi penyerahan bantuan dijadual berlangsung pada penghujung Jun dan akan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Mohd Jafni, mempertahankan pendirian Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan suara akar umbi dan bukanlah simbol kesombongan politik.
“Sejak bila mempunyai pendirian sendiri dianggap sebagai sombong?” soal beliau.
Menurutnya, keputusan itu adalah langkah politik strategik yang diambil setelah menimbang aspirasi majoriti bangsa Johor.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kerjasama dengan agensi Persekutuan dalam pelbagai bidang demi kesejahteraan rakyat.
“Apabila melibatkan rakyat Johor, soal kementerian mana yang bertanggungjawab bukanlah perkara utama kerana yang utama ialah masalah rakyat dapat diselesaikan,” tegasnya.
Walaupun menghormati Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, beliau menekankan bahawa perbezaan pendapat adalah hak demokratik yang perlu dihormati.
