GEORGETOWN: Tiada kata dapat menggambarkan kesedihan Cik Nurain Hasnorizal, 25 tahun, yang kehilangan dua anak sekali gus, selepas seorang lagi meninggal dunia akibat termakan keropok mengandungi racun tikus di sebuah kebun di Kulim, Kedah.
Mangsa kedua, Muhammad Luth Syauqi, yang berusia dua tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), kira-kira 1.20 petang pada 12 Julai, selepas lima hari menerima rawatan.
“Luth sudah meninggal dunia, hilang sudah kesakitannya,” rintih ibu muda itu yang turut kehilangan anak sulungnya, Muhammad Akil Syauqi, tiga tahun, yang meninggal dunia pada 10 Julai, selepas tiga hari dirawat di hospital.
Cik Nurain berkata jenazah anak keduanya itu dijangka dikebumikan di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah, berhampiran pusara abangnya, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi, mengesahkan kematian mangsa dan memaklumkan bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HPP.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, Muhammad Luth dan Muhammad Akil, sakit kritikal selepas termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, pada 7 Julai lalu.
Makanan ringan berupa keropok itu digantung pada pagar dawai dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.
Kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim, dengan Muhammad Akil yang pertama menghembuskan nafas terakhir pada 8.30 pagi, 10 Julai.
Susulan kejadian, pekebun yang dipercayai meletakkan keropok bercampur racun tikus di kebun itu direman enam hari bermula 11 Julai.
Abang kepada pekebun itu mendakwa, beliau dimaklumkan oleh adik lelakinya yang berusia 34 tahun itu bahawa keropok yang bercampur racun itu tidak digantung pada pagar berdekatan jalan, sebaliknya diletakkan di kawasan laluan kera berdekatan hutan.
Dakwanya, tidak mungkin dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun itu dapat mengambil makanan ringan itu dengan mudah walaupun diikat pada pagar kebun, melainkan dibantu orang dewasa atau diambil kera lalu terjatuh sebelum ditemui dan dimakan dua beradik itu.
Penduduk di Kampung Padang Ubi juga mendakwa penggunaan racun bagi kawalan haiwan perosak adalah perkara biasa bagi pekebun sekitar kawasan berkenaan, memandangkan kewujudan haiwan liar, terutamanya monyet yang terlalu banyak di kawasan itu dan sering merosakkan tanaman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg