Topik diikuti
Pergi ke BHkuAaron Aziz hasrat buka dua tiga cawangan Karva Travel di M’sia
Aaron Aziz hasrat buka dua tiga cawangan Karva Travel di M’sia
Pelakon terkenal urus syarikat umrah, kongsi hasrat bantu golongan memerlukan, mahu kembalikan keyakinan jemaah susulan laporan penipuan
Aaron Aziz hasrat buka dua tiga cawangan Karva Travel di M’sia
Pelakon dan penerbit popular kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz, menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya dua lagi cawangan Karva Travel & Tours Malaysia, dalam tempoh dua hingga tiga tahun mendatang.
Perancangan itu sebagai sebahagian usaha memperluas syarikat pengurusan umrah dan pelancongan mesra Muslim, Karva Travel, yang memulakan operasi di Kuala Lumpur.
Karva Travel Malaysia diterajui bersama isterinya, Datin Diyana Halik, 44 tahun, sekali gus memperkukuh kehadiran jenama berkenaan di Malaysia.
Aaron, selaku pemilik bersama dan Pengarah Karva Travel Malaysia, berkata perniagaan itu bukan sekadar pentas untuk membantu lebih ramai umat Islam menunaikan umrah, malah menjadi legasi yang ingin ditinggalkan buat anak-anaknya pada masa depan.
“Siapa yang tak mahu lihat bisnes berkembang ke setiap negeri? Insya-Allah, kalau dalam tempoh dua hingga tiga tahun kami dapat buka cawangan kedua dan ketiga pun, saya sudah cukup bersyukur.
“Bisnes Karva Travel Malaysia ini dan Aaron Aziz Productions juga adalah legasi saya untuk anak-anak,” katanya kepada Berita Harian (BH), ketika ditemui dalam majlis pelancaran Karva Travel Malaysia, pada 22 Mei.
Karva Travel adalah syarikat milik pasangan usahawan selebriti Singapura, Jai Wahab, 53 tahun, dan Rozza Ramli, 43 tahun, yang ditubuhkan sejak 2022.
Syarikat bertapak di Singapura itu telah membina reputasi kukuh dalam menyediakan perjalanan ibadah yang dirancang dengan teliti, seiring penekanan terhadap layanan tamu yang bermutu, pengurusan tersusun serta penjagaan perubatan secara peribadi.
Aaron dan Diyana mempelopori perniagaan itu di Malaysia dengan pembukaan secara rasmi Karva Travel Malaysia di Kuala Lumpur.
Menurut Aaron, pembabitannya dalam bidang pengurusan umrah lahir daripada hasrat mendalam isterinya untuk lebih kerap menunaikan umrah dan haji, selain keinginan mereka memperbaiki kehidupan sebagai Muslim.
“Saya rasa ini antara doa isteri saya yang dimakbulkan Allah sebab Diyana selalu cakap nak pergi umrah lagi dan nak pergi haji lagi.
“Bagi saya, siapa yang tak mahu pergi ke Tanah Suci? Malah, saya sendiri sering berdoa kalau ajal saya sampai, saya berharap biarlah di sana,” kata pelakon yang terkenal dengan watak Malek dalam filem KL Gangster ini.
Aaron berkata, pada usia mencecah 50 tahun, beliau kini cuba menjadi insan lebih baik, selain mahu menggunakan wadah yang dimiliki itu untuk membantu masyarakat mendekati agama.
Menurutnya, Karva Travel bukan sekadar menawarkan pakej perjalanan umrah dengan kos mampu milik, malah, ia juga satu usaha dalam memastikan setiap anggota jemaah, terutama daripada golongan warga emas, individu dengan penyakit kronik dan yang memerlukan, mendapat bimbingan dan sokongan terbaik sepanjang perjalanan ke Tanah Suci.
“Keistimewaannya sudah tentu adalah usaha kami cuba membantu dan menyesuaikan dengan keperluan jemaah terutama warga emas dan golongan berpenyakit kronik yang memerlukan perhatian tambahan.
“Pakej kami pun bukanlah terlalu premium. Ia masih sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
“Daripada pengalaman keluarga sendiri, kami memahami cabaran yang dialami golongan ini dan kami mahu pastikan kesihatan bukan satu halangan untuk mereka ke Tanah Suci. Jadi Karva Travel menyediakan sokongan itu,” katanya.
Aaron juga berkata Karva Travel bukan sahaja memberi tumpuan kepada perjalanan ibadah biasa, malah mahu menyediakan ruang sokongan kerohanian dan peluang kedua buat golongan yang berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.
Menurut Aaron, Karva Travel Malaysia merancang menjalin kerjasama dengan badan sokongan kesihatan mental, Persatuan Keterangkuman, Kesedaran, Sokongan dan Advokasi Kesihatan Mental (Miasa), bagi melaksanakan program penyembuhan kerohanian dengan menunaikan umrah.
“Selain memberi perhatian kepada mereka yang berdepan isu kesihatan mental, kami juga mahu memberi peluang kepada bekas banduan menunaikan umrah.
“Kadangkala, ramai yang rasa sangsi untuk tunai umrah kerana rasakan diri banyak kekurangan dan dosa.
“Orang-orang ini yang kita mahu bimbing dan galakkan. Sebab itu cogan kata kami ialah ‘Sambut Sahut-Nya’. Kalau Allah dah jentik hati kita untuk pergi tunai umrah, teruskan, tak kiralah siapa pun kita,” kata Aaron yang juga Naib Presiden Miasa.
Aaron juga berhasrat melatih golongan banduan sebagai mutawif, selain mahu melahirkan mutawif termuda di Malaysia yang berilmu dan bertauliah.
“Kadang-kadang anak remaja ini susah nak ‘klik’ dengan ustaz yang lazimnya lebih berusia, mungkin tak sama frekuensi.
“Jadi saya lihat mutawif muda lebih berkesan dalam menyebarkan dakwah dan menyuntik kesedaran untuk Generasi Z tunai umrah pada usia muda,” katanya.
Memandangkan dirinya pernah menjadi mangsa penipuan agensi pengurusan umrah Malaysia sebelum ini, Aaron dengan yakin menekankan, Karva Travel menjanjikan perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada jemaah yang memilih menunaikan umrah bersama syarikatnya.
“Benar, peningkatan kes penipuan pakej haji dan umrah sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap agensi pengurusan umrah semakin terjejas.
“Atas faktor itu, Karva Travel Malaysia ditubuhkan dengan harapan dapat mengembalikan keyakinan jemaah serta mengurangkan kebimbangan orang ramai terhadap penipuan melibatkan pakej umrah.
“Perkara seperti ini banyak mengajar saya. Mungkin apa yang pernah berlaku kepada saya sebelum ini menjadi pembakar semangat supaya terus melangkah ke depan dan berharap Allah permudahkan perjalanan ini.
“Sejujurnya ketika pernah ditipu dahulu, saya hilang semangat juga. Tetapi selepas berbincang dengan Diyana, kami anggap semua ini satu ujian.
“Insya-Allah, melalui Karva Travel ini, mungkin ia boleh menjadi salah satu bentuk dakwah dan saham akhirat yang ingin kami sampaikan. Saya reda dengan apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu Jai berkata, pembabitan Aaron dan Diyana dalam Karva Travel didorong oleh sifat prihatin dan keinginan pasangan itu untuk membantu masyarakat.
“Kalau kenal Aaron dan Diyana, mereka memang jenis yang akan tampil membantu dulu apabila melihat orang dalam kesusahan.
“Dari awal lagi, semangat yang kami bawa adalah untuk berdakwah dan pada masa yang sama, membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang akan mengendalikan perjalanan umrah secara lebih tertib dan mabrur.
“Kami juga mahu membantu golongan yang memerlukan perhatian khas seperti pesakit ginjal yang menjalani dialisis, individu uzur dan mereka yang sakit.
“Kerja seperti ini bukan semua orang mahu lakukan, tetapi insya-Allah, Karva Travel mahu memberi kemudahan dan ketenangan kepada mereka yang mungkin berdepan kesukaran untuk ke Baitullah,” katanya.
Jai berkata status Aaron dan Diyana sebagai selebriti turut memberi nilai tambah kepada syarikat itu, bukan sahaja dari sudut pemasaran bahkan sebagai ikon yang mampu membawa pendekatan lebih positif kepada masyarakat.
“Sebagai pengarah dan pemilik bersama Karva Travel, Aaron dan Diyana sekarang boleh menawarkan khidmat secara keseluruhan sebagai pemilik.
“Kalau dulu Aaron hanya buat pemasaran Karva Travel saja, tetapi sekarang sebagai pemilik Karva Travel Malaysia, beliau mempunyai visi dan lebih bersemangat untuk melakukan terbaik untuk jemaah Malaysia.
“Visi kami untuk adakan kerjasama yang begitu bermakna ini sebagai peluang untuk berdakwah di Malaysia dengan bergabung bersama Aaron yang sudah lama berhasrat untuk memiliki agensi pengurusan umrah seperti Karva Travel,” katanya.
