KUALA LUMPUR: Siasatan polis Malaysia mendapati ada ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang berpoligami dengan beristeri empat dan mempunyai sehingga 34 anak.
“Ada berkahwin empat dan mempunyai 34 anak tetapi ada dua anak (sahaja) duduk dengan dia.
“Kalau kita tanya apa nama anak pun mungkin dia tidak tahu nama, tak ingat rupa anak,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata siasatan pihaknya juga mendapati operasi rumah amal kendalian GISBH dipromosikan sebagai rumah perlindungan anak yatim dengan niat untuk menipu bagi mendapatkan sumbangan dan derma orang ramai.
Kanak-kanak di rumah-rumah amal itu didoktrinkan bahawa mereka ‘anak yatim’ dan tidak mengenali ibu bapa masing-masing.
“Hasil rakam keterangan yang dibuat polis mendapati terdapat kanak-kanak terutamanya usia di bawah 12 tahun yang tinggal di rumah kebajikan GISBH tidak mengenali ibu bapa mereka yang dalam kalangan ahli.
“Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis, mereka tidak mahu mengaku mereka (kanak-kanak yang diselamatkan) itu adalah anak mereka.
“Ini kerana GISBH juga memaparkan dalam laman web sumbangan untuk ‘anak yatim’ walhal sebenarnya mereka adalah anak ahli.
“Wang sumbangan dan derma yang diterima daripada pihak luar digunakan untuk kegunaan lain. Ini adalah kesalahan penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Jadi lebih baik mereka tidak mengaku (kanak-kanak diselamatkan anak mereka) kerana tidak ada kesalahan itu.
“Ibu bapa dan kanak-kanak telah didoktrin ini (mereka adalah anak yatim), malah ada yang tidak kenal ibu bapa seolah-olah memang anak yatim,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada 23 September, lapor Berita Harian Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg