Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kontroversi Global Ikhwan beri tamparan hebat pada rangkaian niaganya

Tinjauan BH dapati perniagaan GISBH di Selangor jalan seperti biasa, namun kawasan kini lengang, sunyi susuli kes penderaan di rumah amal kendalian syarikat itu
Sep 21, 2024 | 5:30 AM
Restoran di kawasan perniagaan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di Rawang, Selangor, sepi daripada kunjungan pelanggan sejak kumpulan perniagaan itu yang terpalit kontroversi kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak disiasat polis sejak awal September.
Restoran di kawasan perniagaan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di Rawang, Selangor, sepi daripada kunjungan pelanggan sejak kumpulan perniagaan itu yang terpalit kontroversi kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak disiasat polis sejak awal September. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Serbuan polis menerusi ‘Op Global’ yang membongkar kes liwat, penderaan dan eksploitasi ratusan kanak-kanak di 20 rumah amal dipercayai kendalian Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) pada 11 September lalu membawa kepada pelbagai dakwaan salah laku dan kepincangan mengejutkan dalam kumpulan perniagaan itu.

Walaupun awalnya pimpinan GISBH menafikan tuduhan berlakunya kes serangan seksual terhadap penghuni di rumah amalnya, penemuan polis pula menunjukkan sebaliknya.

Laporan perubatan ke atas lebih 400 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan polis di Negeri Sembilan dan Selangor itu mengesahkan 13 mangsa telah diliwat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan siasatan lanjut polis mendedahkan wujud elemen jenayah daripada sudut fizikal dan emosi dalam kalangan mangsa yang diselamatkan seperti penderaan fizikal dan emosi, pengantunan (grooming) kanak-kanak, buruh kanak-kanak, pengabaian serta kekurangan zat makanan.

Malah di laman sosial, banyak video tular menunjukkan berlakunya kejadian itu. Ada kanak-kanak dirotan lebih 10 kali di tapak tangan sehingga menyebabkan mangsa lemah dan ada yang dadanya ditunjal dengan lutut sehingga kanak-kanak itu sukar bernafas.

Kontroversi GISBH semakin mendapat tumpuan apabila siasatan polis di rumah amal yang diserbu itu menemui apa yang dipanggil sebagai ‘barangan berkat’ seperti bekas darah bekam pemimpin, kertas tisu, cebisan kain, rambut antaranya milik kepimpinan kanan.

Ia menguatkan lagi kaitan siasatan bahawa kumpulan itu masih mengamalkan ajaran Al-Arqam yang telah difatwakan haram oleh kerajaan Malaysia pada 1994. Nama Al-Arqam tidak asing di Malaysia sebagai kumpulan ajaran sesat yang popular sekitar 1970-an.

GISBH adalah serpihan Al-Arqam yang diwujudkan oleh pengasasnya, Allahyarham Ashaari Mohammad atau lebih dikenali sebagai ‘Abuya’ dalam kalangan pengikutnya. Sebelum dijenamakan semula, GISBH dikenali sebagai Rufaqa Corporation.

Syarikat yang mempunyai rangkaian perniagaan padu itu juga berdepan tuduhan menjalankan proses indoktrinasi melampau tentang pemimpin utama kumpulan itu.

Turut tersebar banyak pendedahan bekas pengikut GISBH bahawa syarikat itu mengamalkan sistem perhambaan sehingga pekerja tidak dibayar gaji dan dinafikan hak, malah kanak-kanak didakwa dijadikan sebagai buruh.

Berdasarkan pemantauan Berita Harian (BH) di laman web GISBH, video korporat syarikat itu yang dimuat turun pada 3 September lalu di aplikasi YouTube, menerangkan GISBH semakin berkembang dengan 415 cawangan perniagaan di 20 negara serata dunia.

GISBH juga menggajikan seramai 5,346 orang di 25 anak syarikatnya, termasuk aset penting seperti restoran di London, Paris, Istanbul, Dubai dan Makkah, tempat penginapan di Turkey, hotel di Sarajevo dan ladang seluas 48 hektar di Perth, Australia.

Video itu turut mendedahkan ketika ini terdapat 1,656 keluarga dalam GISBH dan rangkaian perniagaannya, dengan 425 merupakan keluarga poligami.

BH juga sempat melakukan tinjauan di beberapa lokasi perniagaan GISBH di Selangor termasuk di Selayang, Kota Damansara dan ibu pejabatnya di Bandar Country Homes, Rawang, yang menempatkan belasan premis perniagaan kumpulan itu.

Kawasan rumah kedai di Rawang itu dimonopoli rangkaian perniagaan GISBH antaranya Ikhwan Kafe & Bakery, Media Ikhwan, Ikhwan Printing, Laman Ikhwan, Ikhwan Bundle, Ikhwan Trading, Ikhwan Laundry, Ikhwan Butcher, Ikhwan Auto, Ikhwan Mart, Poliklinik Ikhwan dan Ikhwan Butik.

Bagaimanapun, beberapa lot premis turut menempatkan perniagaan lain yang tiada kaitan dengan GISBH.

Tinjauan BH mendapati perniagaan GISBH di situ beroperasi seperti biasa, namun kes kontroversi GISBH menyebabkan kawasan yang lazimnya dikunjungi pelanggan bertali arus itu kini begitu lengang dan sunyi.

Rata-rata peniaga menyifatkan keadaan ketika ini adalah yang paling buruk pernah mereka alami.

Seorang pengusaha restoran di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Nurul, 20-an tahun, berkata perniagaan di situ merosot lebih 95 peratus, dengan beliau sendiri langsung tidak menerima pelanggan sepanjang GISBH dipalit isu panas itu.

“Sejujurnya sepanjang tiga tahun bersama GISBH, saya tidak pernah melalui sebarang perkara pelik sebagaimana pelbagai tuduhan disebarkan di media sosial. Saya cuma berharap isu ini cepat pulih dan perniagaan kembali rancak seperti biasa,” katanya.

Sebelum ini tular dakwaan mengatakan ada premis makanan GISBH meletakkan air rendaman kaki, janggut dan bulu pemimpinnya di dalam makanan sebagai pelaris.

Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Ahmad menyifatkan itu adalah fitnah.

“Kalau betul begitu, pasti ketika GISBH dilanda kontroversi sekarang ini perniagaan mereka tetap rancak. Tetapi saya lihat mereka hanya termenung tunggu pelanggan yang tak kunjung tiba,” katanya.

Kontraktor, Encik Mohd Bukhari Ishak, 41 tahun, yang sudah 14 tahun tinggal di ‘perkampungan’ GISBH di Rawang, berkata beliau terkesan dengan isu yang melanda, apatah lagi katanya warga syarikat itu sangat baik dengannya.

Beliau mengakui satu masa dulu pernah berprasangka dengan GISBH sehingga mendorong beliau melakukan siasatan, namun ternyata semuanya meleset.

“Contohnya, dulu ada yang kata orang lelaki GISBH ini tak pergi solat Jumaat. Saya tak puas hati lalu siasat. Tetapi akhirnya saya dapati mereka yang tak sempat solat Jumaat itu adalah musafir.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku, tak percaya pun ada, tetapi kita serahkan pada pihak berkuasa untuk siasat. Namun, daripada pengalaman saya tinggal di sini, alhamdulillah tak pernah nampak atau alami yang pelik atau menyimpang daripada ajaran Islam,” katanya.

Pengusaha di sebuah premis runcit GISBH di Kota Damansara pula menafikan isu pekerja tidak dibayar gaji yang didakwa berlaku dalam GISBH.

“Saya tidak pula alami masalah gaji. Bagi saya yang tak dapat gaji itu mungkin individu bermasalah. Pasti ada sebab mengapa ia berlaku,” katanya. – Laporan tambahan Mohd Noor A. Rahman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg