Topik diikuti
Pergi ke BHkuAdun Kota Iskandar syor pembangunan pengangkutan awam berkeupayaan tinggi dipercepat
Persediaan pengangkutan pengantara RTS perlu diperkukuh; penggunaan landasan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas turut dicadang diteliti
Adun Kota Iskandar syor pembangunan pengangkutan awam berkeupayaan tinggi dipercepat
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor digesa menilai semula jajaran sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) ke Iskandar Puteri serta mempercepat pembangunannya bagi menyokong pergerakan penumpang Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata persediaan membawa penumpang RTS ke destinasi seterusnya perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kesesakan bertambah di sekitar Johor Bahru.
“Persoalannya, adakah kita sudah bersedia dengan sistem penyuraian penumpang RTS ini?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berbahas di Dewan Negeri Johor pada 24 November.
Menurut Datuk Pandak, cadangan sistem bas pantas (BRT) sebelum ini merangkumi jajaran Iskandar Puteri, Skudai dan Tebrau.
Bagaimanapun, beliau berkata jajaran Iskandar Puteri tidak lagi kelihatan dalam cadangan e-ART terkini, sedangkan kawasan itu menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri, perumahan, kawasan perniagaan serta Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Beliau menekankan keperluan menghubungkan kawasan pembangunan tersebut, khususnya Kota Iskandar, dengan pusat bandar Johor Bahru melalui pengangkutan awam yang menyeluruh.
Selain menilai semula jajaran e-ART, beliau mencadangkan kerajaan negeri meneliti penggunaan landasan sedia ada ke Pelabuhan Tanjung Pelepas bagi memperkukuh hubungan pengangkutan awam ke Iskandar Puteri.
Beliau berkata laluan Komuter Selatan merangkumi Paloh-Kulai, Kempas Baru-JB Sentral dan Kempas Baru-Pasir Gudang, namun belum menghubungkan Iskandar Puteri.
Dalam ucapannya, Datuk Pandak menyatakan RTS Link dijangka mula beroperasi pada Februari 2027, dengan keupayaan membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.
“Perjalanan antara Bukit Chagar dengan Woodlands North dijangka mengambil masa sekitar lima minit.
“Saya bimbang pertambahan pergerakan penumpang akan menambah kesesakan di Johor Bahru sekiranya persediaan pengangkutan pengantara tidak mencukupi,” katanya.
Datuk Pandak turut mengambil maklum langkah kerajaan negeri memperkukuh perkhidmatan bas awam, memperkenalkan Komuter Selatan, menyediakan kemudahan letak kereta dan sambung perjalanan, serta menambah baik pengurusan lalu lintas.
Namun, beliau mahu pembangunan pengangkutan awam berkeupayaan tinggi dipercepat supaya rangkaiannya lebih menyeluruh dan saling berhubung.
Beliau turut menekankan kepentingan Iskandar Puteri dan Kota Iskandar dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta Zon Kewangan Khas di Forest City.
Menurutnya, kemajuan negeri perlu turut diterjemahkan kepada perjalanan yang lancar dan pengangkutan awam yang berfungsi dengan baik untuk rakyat.