Topik diikuti
Pergi ke BHkuAGC perjelas sebab 4 pertuduhan dihadapi Muhyiddin digugurkan
AGC perjelas sebab 4 pertuduhan dihadapi Muhyiddin digugurkan
Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa keputusan untuk menghentikan empat pertuduhan terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkaitan penerimaan RM200 juta ($62.38 juta) daripada Bukhary Equity Sdn Bhd dibuat selepas mempertimbangkan risiko litigasi serta kesan terhadap tiga pertuduhan lain yang masih dihadapinya.
Dalam kenyataan pada malam 15 September, AGC berkata penilaian profesional terhadap keterangan, kebolehbuktian kes dan kepentingan keseluruhan pendakwaan menunjukkan bahawa penerusan empat pertuduhan berkenaan berisiko menjejaskan strategi serta pembuktian pertuduhan lain terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan dibuat berdasarkan penilaian profesional terhadap keterangan dan kebolehbuktian kes serta kepentingan keseluruhan pendakwaan.
“Penilaian tersebut menunjukkan bahawa meneruskan pertuduhan-pertuduhan tersebut membawa kepada risiko litigasi yang nyata, termasuk risiko menjejaskan strategi serta pembuktian pertuduhan-pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh.
“Dalam keadaan tersebut, pihak Pendakwaan perlu melihat kepentingan keseluruhan kes dan bukannya mempertahankan satu pertuduhan secara terasing,” kata AGC dalam kenyataan itu.
Penjelasan itu dibuat sehari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM200 juta untuk Bersatu serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memohon supaya keempat-empat pertuduhan berkenaan tidak diteruskan mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
AGC menegaskan keputusan berkenaan tidak bermaksud pertuduhan terbabit dibuat tanpa asas dan tidak boleh ditafsirkan sebagai dapatan bahawa transaksi yang menjadi subjek siasatan tidak berlaku.
Sebaliknya, menurut AGC, keputusan pendakwaan boleh dan perlu dinilai semula selepas keseluruhan keterangan, kebolehterimaan keterangan, kredibiliti saksi serta implikasinya terhadap prosiding lain dipertimbangkan secara menyeluruh.
“Jabatan ini menegaskan bahawa tugas Pendakwa Raya bukan untuk mempertahankan sesuatu pertuduhan pada apa jua keadaan, tetapi adalah untuk memastikan hanya pertuduhan yang mempunyai asas keterangan yang mencukupi dan boleh dipertahankan di Mahkamah sahaja diteruskan,” katanya lagi.
AGC berkata setelah mengambil kira keseluruhan faktor berkenaan, meneruskan empat pertuduhan itu bukan lagi langkah pendakwaan yang wajar dan berhemat.
Walaupun dibebaskan daripada empat pertuduhan berkenaan, Tan Sri Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM25.3 juta untuk Bersatu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta seorang individu, berkaitan projek Jana Wibawa.
Jana Wibawa ialah projek yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19, kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.
Pihak pendakwaan menutup kesnya bagi tiga pertuduhan berkenaan pada 15 September selepas memanggil 29 saksi, termasuk pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai saksi terakhir.
AGC dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa keputusan pendakwaan perlu dibuat berdasarkan undang-undang, keterangan dan kepentingan pentadbiran keadilan.
