KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada 16 Januari membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan menerima wang daripada aktiviti haram dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dibicarakan bersama.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu memenuhi kriteria mengikut Seksyen 165 Kanun Acara Jenayah kerana ia membabitkan satu siri perbuatan dalam transaksi dan individu sama.
“Ini juga dapat memastikan keadilan kepada semua pihak, menjimatkan masa dan mengelak kesukaran terutama kepada saksi sama. Tiada sebarang prejudis akan berlaku kepada tertuduh berikutan penggabungan perbicaraan ini,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan akan mengemukakan 30 saksi bagi perbicaraan kes berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Februari bagi pengurusan kes dan tarikh perbicaraan.
Mahkamah membatalkan permohonan Tan Sri Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), untuk menarik balik tuduhan pengubahan wang haram terhadapnya.
Ini selepas peguam beliau, Encik Amer Hamzah Arshad, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya ingin menarik balik permohonan itu kerana perkara berkenaan sudah menjadi akademik.
Tan Sri Muhyiddin, 77 tahun, sebagai perdana menteri Malaysia (ketika itu) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukan beliau bagi suapan berjumlah RM232.5 juta ($70.71 juta) berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dengan 20 Ogos 2021.
Presiden Bersatu itu juga berdepan dua tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dengan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dengan 8 Julai 2022.
Tan Sri Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac 2023 atas tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg