Menjelang pendengaran rayuan mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, pada 6 Januari untuk membuktikan perintah yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah, Istana Negara menegaskan bahawa banduan yang mahu merayu pengurangan hukuman harus mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Istana Negara dalam kenyataan pada 3 Januari mengingatkan semua pihak agar menghormati perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Kenyataan itu menyebut, Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Menurut kenyataan itu, Agong juga boleh mengurangkan, menggantung atau meringankan hukuman dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan tersebut, dengan kuasa itu dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikannya.
“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang.
“Semua pihak diingatkan menghormati perlembagaan dan undang-undang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Banyak pihak mengaitkan kenyataan Istana Negara itu dengan polemik titah adendum (perintah tambahan) yang didakwa dikurniakan kepada Encik Najib oleh mantan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada Januari 2024.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam reaksi balasnya terhadap kenyataan Istana Negara itu meminta pihak berkaitan supaya memahami dan menerima titah Agong berhubung permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi banduan.
“Kena baca, hadam, dan terima perintah, titah tuanku,” katanya pada 3 Januari.
Mahkamah Rayuan Putrajaya akan mendengar rayuan Encik Najib yang mendakwa mempunyai bukti untuk mengesahkan kewujudan perintah tambahan itu, yang muncul selepas mantan Presiden Umno itu diberi pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Sultan Abdullah pada 29 Januari 2024.
Keputusan Lembaga Pengampunan membolehkan Encik Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta ($12.80 juta) milik SRC International Sdn Bhd (SRC) mendapat pengurangan hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 2022.
Encik Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, selain pengurangan denda yang perlu dibayar daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Langkahnya untuk memperjuangkan kewujudan perintah tambahan itu bukan saja mencetuskan gelombang sokongan daripada parti yang pernah diketuainya, Umno, malahan juga pembangkang – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – yang sepakat menerusi Himpunan Solidariti untuknya di Istana Kehakiman Putrajaya pada 6 Januari.
Bagaimanapun himpunan itu mendapat bantahan dan mengundang reaksi kurang senang Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan gabungan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.
Malah, ia turut mendorong perdebatan antara pemimpin parti komponen PH iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan pemimpin Umno-BN.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg