KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, memandang serius kes buli yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hingga mengakibatkan seorang penuntut mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Beliau berkata budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia bukan menjejas kesejahteraan pelajar sahaja, bahkan mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi Malaysia.
Tambahan pula itu bukan kali pertama kes buli dilaporkan di UPNM, malah sebelum ini ia sudah terjadi beberapa kali hingga meragut nyawa.
“Di dalam pasukan tentera, latihan keras adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, seperti pernah dilalui oleh saya sewaktu menjalani latihan ketenteraan.
“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” ujar Sultan Ibrahim dalam akaun Facebook rasminya pada 12 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, Agong berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara pada 12 November.
Pada 10 November, media melaporkan satu lagi kejadian buli di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 21 Oktober, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap dengan seterika oleh pelajar tahun empat.
Mangsa berusia 19 tahun itu dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak seorang pelatih tahun tiga, dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Pada 7 November, seorang pelajar tahun empat dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selepas dia menekap seterika pada seorang pelatih tahun dua.
Datuk Mohamed Khaled berkata kementeriannya telah melaksanakan beberapa langkah drastik bagi mencegah berlakunya kes buli di UPNM, antaranya ialah mengasingkan pelajar tahun satu dengan pelajar senior.
Beliau berkata pengasingan itu membabitkan tempat tinggal dengan membezakan bilik serta aras bilik penginapan serta pengasingan ‘pemanggilan pelajar’ (apabila nama pelajar dipanggil untuk memeriksa kedatangan) antara pelajar senior dengan junior.
Menurutnya, pengasingan bilik penginapan dilaksanakan mulai Januari manakala pengasingan aras tempat tinggal dan ‘pemanggilan pelajar’ dimulakan pada Oktober.
“Kita juga memasang kamera litar tertutup di semua blok penginapan dan jumlah CCTV akan ditambah.
“Kita juga akan memberikan hukuman yang setimpal dan semaksimum mungkin sebagai satu cara memupuk kesedaran dan juga satu tindakan mencegah (kejadian buli) daripada berlaku,” tegasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg