Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelaku kes buli pelajar M’sia diberi amaran ‘You Touch You Go!’

Nov 1, 2024 | 12:37 PM
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memberi amaran beliau akan mengambil tindakan paling tegas jika berlaku kejadian buli membabitkan warga Institut Pendidikan Mara (IPMa).

Sambil menyuarakan kekecewaannya terhadap dakwaan berlaku kes dera pelajar di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang sama, beliau turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes buli.

“Langsung tiada iktibar dengan kes lalu yang menyebabkan kematian. Kalau berlaku di mana-mana institusi pendidikan Mara termasuklah di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), tiada kompromi.

“Saya dah tegaskan prinsip saya You Touch You Go! (Anda sentuh, anda pergi!)… tak perlu nak jumpa saya buat rayuan atau apa juga untuk raih simpati kerana sudah diperingatkan berulang kali,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada 31 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Sehubungan itu, Dr Asyraf Wajdi memberi jaminan Mara tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes buli jika dikesan berlaku dalam kalangan pelajar di MRSM.

Beliau dilaporkan berkata pihaknya tidak akan sesekali menutup sebarang perilaku curang yang dilakukan oleh mana-mana pelajar walaupun anak orang kenamaan.

Terdahulu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyatakan ia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi, dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, berkata siasatan terperinci terhadap kes itu sedang dijalankan.

“ATM memandang serius isu sebegini dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes itu,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Pada 2017, Malaysia digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang cedera teruk apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Berikutan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai 2024 selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg