KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam percakapan sembilan individu bagi membantu siasatan kes buli terkini membabitkan seorang pelajar junior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata mangsa berumur 19 tahun itu adalah antara mereka yang selesai dirakam percakapan itu.
Difahamkan, proses merakam keterangan mangsa dijalankan di hospital kerana sedang menerima rawatan atas kecederaannya.
“Setakat ini, rakaman percakapan sembilan individu sudah diambil, termasuk mangsa.
“Proses rakaman percakapan ke atas suspek pula akan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada petang ini (11 November).
“Hasil siasatan awal mendapati suspek kes ini adalah seorang pelajar senior di UPNM,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada 11 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 10 November, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan penuntut tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober, sehari sebelum seorang penuntut tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Pada 10 November, Datuk Rusdi dipetik sebagai berkata bahawa kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Menurutnya, mangsa dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang disyaki akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementeriannya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli.
Beliau berkata kejadian terbabit adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM serta institusi pendidikan tinggi.
Pada 8 November, dalam satu kes buli berasingan, seorang kadet daripada universiti itu mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menyebabkan kecederaan kepada juniornya menggunakan seterika wap, lapor The Star.
Amirul Iskandar Norhanizan, 22 tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Egusra Ali.
Mengikut kertas tuduhan, Amirul Iskandar didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mahasiswa UPNM, Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20 tahun, dengan menggunakan seterika wap panas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik asrama di akademi tentera itu kira-kira 11.45 malam pada 22 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg