Topik diikuti
Pergi ke BHkuAgong M’sia akan pilih ketua SPRM baru
Agong M’sia akan pilih ketua SPRM baru
Agong M’sia akan pilih ketua SPRM baru
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, berkata beliau akan menentukan calon baru untuk menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam satu kenyataan pada 23 April, Sultan Ibrahim berkata jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” kata Sultan Ibrahim, kepada Royal Press Office (RPO), seperti dikongsikan di akaun Facebook rasmi beliau pada 23 April.
Justeru Sultan Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara itu.
Ketika ini jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM disandang oleh Tan Sri Azam Bak,i yang bakal tamat kontrak perkhidmatan pada 12 Mei ini.
Kenyataan Sultan Ibrahim itu mengukuhkan lagi spekulasi bahawa kontrak perkhidmatan Tan Sri Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak akan dilanjutkan lagi buat kali keempat.
Untuk rekod, Tan Sri Azam dilantik mengetuai badan antirasuah itu pada Mac 2020 di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menggantikan Cik Latheefa Koya, yang meletakkan jawatan selepas berlaku penjajaran semula politik yang menyaksikan pertukaran kerajaan ketika itu yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sejak itu, kontrak perkhidmatan Tan Sri Azam sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berdepan tekanan untuk beliau menamatkan kontrak Tan Sri Azam yang terpalit beberapa kontroversi.
Kedudukan Tan Sri Azam kian dipertikaikan dengan kemuncaknya pada Februari lalu apabila media antarabangsa, Bloomberg, melaporkan dakwaan salah laku Tan Sri Azam.
Beliau didakwa telah melanggar peraturan pemilikan saham penjawat awam beberapa kali, selain dakwaan SPRM terlibat dengan ‘mafia korporat’.
Pada 2021, Tan Sri Azam pernah terpalit kontroversi pemilikan saham yang mula mencetuskan desakan supaya beliau disingkirkan daripada menerajui SPRM.
Beberapa pemimpin lantang mendesak penamatan kontrak Tan Sri Azam antaranya mantan menteri dan mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli; dan Timbalan Presiden PKR sekarang, Cik Nurul Izzah Anwar.
Dalam podcast terbaru, Datuk Rafizi mendakwa isu sambungan kontrak Tan Sri Azam bukan sekadar soal pentadbiran, bahkan kayu ukur kepada komitmen sebenar Datuk Anwar dalam memerangi rasuah.
