Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agong M’sia menang bidaan nombor daftar kereta ‘GOLD 1’ pada harga RM1.5j

Feb 21, 2024 | 2:37 PM
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim (kiri), menerima simbolik plak nombor pendaftaran kenderaan ‘GOLD 1’ daripada Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, yang dibida pada harga RM1.5 juta, tertinggi dalam sejarah negara itu.
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim (kiri), menerima simbolik plak nombor pendaftaran kenderaan ‘GOLD 1’ daripada Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, yang dibida pada harga RM1.5 juta, tertinggi dalam sejarah negara itu. - Foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, menjadi pemilik nombor pendaftaran kenderaan eksklusif ‘GOLD 1’, selepas memenangi bidaan dengan nilai RM1.5 juta ($420,000), rekod tertinggi dalam sejarah negara itu.

Beliau mengatasi rekod bidaan tertinggi sebelum ini iaitu RM1.2 juta untuk nombor pendaftaran kenderaan FF1 yang dimenanginya pada 2023.

Menurut perkongsian di laman Facebook rasmi beliau pada 20 Februari, Sultan Ibrahim mengatakan hasil daripada bidaan itu akan disalur kepada Kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, di Istana Negara, Kuala Lumpur, yang turut melakukan penyerahan simbolik plak nombor pendaftaran kenderaan berkenaan kepada Sultan Ibrahim, lapor Berita Harian Malaysia.

Antara nombor pendaftaran kenderaan menarik yang pernah dimenangi Sultan Ibrahim sebelum ini ialah F1 bernilai RM836,000 dan VR46 RM55,000.

Pada 2023, Encik Loke juga menyerahkan simbolik nombor pendaftaran FF1 kepada Sultan Ibrahim di Johor Bahru.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) iaitu siri ‘GOLD’ sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Bidaan itu dibuka melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) mulai 1 Februari lalu sehingga 10 malam 5 Februari.

NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks mempunyai prefix siri GOLD, melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut kadar minimum ditetapkan iaitu bermula daripada RM20,000 bagi nombor bernilai utama, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800), dan nombor biasa (RM300).

JPJ menerusi bidaan nombor pendaftaran FF sebelum ini berhasil mendapat pulangan hampir RM35 juta.

Sultan Ibrahim terkenal dengan koleksi kenderaan peribadi di Malaysia yang bersifat eksklusif dan ada antaranya tidak pernah dilihat di tempat lain.

Pada 2022, beliau yang ketika itu Sultan Johor, mempamerkan 16 kenderaan yang digunakannya secara rasmi sepanjang penganjuran program Kembara Mahkota Johor (KMJ) di Festival Majestic Johor (FMJ) di Puteri Harbour, Johor Bahru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg